Seminar Antarabangsa Linguistik Di FBMK Lulus 8 Resolusi | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Seminar antarabangsa linguistik di FBMK lulus 8 resolusi

Seminar antarabangsa linguistik di FBMK lulus 8 resolusi

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Nasrul Izam Zamaruddin

 



SERDANG, 4 Nov: Seminar antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu IX di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini meluluskan lapan resolusi, termasuk menyatakan bahawa perancangan taraf dan perancangan korpus bahasa Melayu perlu diperhebat.

Ia juga menyatakan bangsa ASEAN perlu berganding bahu dan berjalan seiring untuk menepis segala rintangan dan mengikis kecemburuan demi meneroka kekayaan serta mencipta kesejahteraan dalam memperjuangkan pemartabatan bahasa Melayu.

Resolusi itu dibacakan Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu FBMK, Dr Hasnah Mohamad yang juga Pengerusi Bersama seminar berkenaan, sebelum majlis penutupan. Seminar dua hari itu dianjurkan bersama FBMK dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan “Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN.”

Ia juga menyatakan bahawa bahasa Melayu dapat dimanifestasikan sebagai bahasa ASEAN dalam pelbagai bentuk dan cara yang melibatkan kerjasama semua pihak dalam pelbagai bidang. Jalinan kerjasama antara institusi seperti DBP serta badan-badan seperti MABBIM, MASTERA dan FOKEPS pasti dapat menjatidirikan bahasa Melayu sebagai wahana paling berkesan di abad ini.

Ia juga menyatakan pihak yang bertanggungjawab mengenai pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu seperti DBP, Pusat Pembinaan dan Permasyarakatan di Indonesia, serta Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam harus mempergiat kegiatan bahasa dan meningkatkan sikap positif serta disiplin masyarakat dalam berbahasa.

Resolusi lain termasuk;

  • kesatuan politik dan ekonomi ASEAN perlu merancang dengan rapi hubungan diplomatik dan ekonomi dalam kalangan negara anggota ASEAN agar berusaha meningkatkan sinergi supaya bersatu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN.
  • Pembangunan prasarana Teknologi Maklumat dan Komunikasi, pembangunan sistem seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu serta Portal Gerbang Kata DBP perlu diperbanyakkan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan bangsa ASEAN; dan
  • Bahasa yang digunakan oleh pihak media di radio, televisyen, akhbar dan media sosial hendaklah menepati tujuh langkah pembentukan istilah yang  digariskan oleh DBP dalam Buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu Malaysia (1975) agar menjadi ikutan seluruh masyarakat.  

Terdahulu, ketika merasmikan seminar berkenaan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd Salleh Keruak berkata, golongan ilmuan dan ahli bahasa perlu mempromosi bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN selaras peranan Malaysia sebagai pengerusi pertubuhan negara serantau itu.

“Sewajarnya kesempatan ini diambil untuk mempromosi bahasa Melayu sebagai salah satu ciri utama Komuniti ASEAN. Tanpa menafikan keampuhan bahasa Inggeris yang selama ini digunakan sebagai bahasa rasmi ASEAN, untuk muncul sebagai sebuah Komuniti sifat kebangsaan ASEAN harus dibentuk melalui ciri penggunaan bahasa yang ‘homogenous’ atau seragam,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr Mohammad Shatar Sabran dan Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP, Aminah Awang Basar. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563454615