| Universiti Putra Malaysia

SEMINAR ANTARABANGSA ANTARTIKA MALAYSIA KALI KELAPAN (MISA8) KUMPUL 200 PESERTA DAN PAKAR ANTARTIKA

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh 

SERDANG, 18 Jun - Seramai 200 orang penyelidik polar, penggubal polisi dan pelajar pasca-siswazah dari dalam dan luar negara menyertai Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia Kali Kelapan bagi membentangkan hasil penyelidikan di Artik, Antartik dan Laut Selatan oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa.

MISA yang bermula pada tahun 2002 dan dianjurkan dua tahun sekali merupakan platform bagi penyelidik-penyelidik untuk menjalinkan serta mengukuhkan lagi kerjasama dalam penyelidikan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) telah merasmikan MISA atau Eighth Malaysian International Seminar on Antarctica (MISA8) pada 18 hingga 20 Jun 2019 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

MISA8 bertemakan ‘Polar Regions in the Global Climate System’ itu dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dengan kerjasama UPM, YPASM dan Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC).

Semasa majlis perasmian MISA8, baginda berkenan menyampaikan Geran Penyelidikan YPASM bernilai RM150 ribu kepada penyelidik Antartika iaitu Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad (Universiti Putra Malaysia), Prof. Madya Dr. Siti Aisah Alias (Universiti Malaya), Dr. Wan Mohd Rauhan Wan Hussin (Universiti Malaysia Terengganu) dan Dr. Nur Athirah Yusof (Universiti Malaysia Sabah).

Baginda turut menyampaikan Geran YPASM Berth Support bernilai Pound Sterling 27,500 kepada Dr. Mohd Shahrul Mohd Nadzir (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Dr. Mai Chun Wan (International Medical University).

Pengarah Pusat Penyelidikan Antartik, Victoria University of Wellington, New Zealand, Prof. Timorty Naish menyampaikan ucaptama bertajuk ‘What Does The Paris Climate Agreement Mean for Antarctica and The Southern Ocean’ selepas upacara penyampaian geran penyelidikan.

Turut hadir semasa majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis dan  Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris. - UPM

SXDdEAl~