Science Camp Fundraiser Kumpul Dana Bantu Kanak-kanak Kurang Bernasib Baik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Science Camp Fundraiser kumpul dana bantu kanak-kanak kurang bernasib baik

Science Camp Fundraiser kumpul dana bantu kanak-kanak kurang bernasib baik

Oleh Parameswari Namasivayam

                                  

 

SERDANG,10 Dis – Pelajar dan kakitangan Jabatan Biologi Sel dan Molekul(BSM), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Tech Outreach Malaysia menganjurkan program komuniti ‘Science Camp Fundraiser’ bertujuan mengumpul dana bagi keperluan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Hasil kutipan wang daripada program itu disumbangkan kepada Dana Pendidikan Kanak-kanak di Keningau, Sabah di bawah naungan Tech Outreach Malaysia.

Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Parameswari Namasivayam berkata wang yang terkumpul itu akan digunakan untuk melengkapkan prasarana dan keperluan pembelajaran mereka.

“Golongan ini juga memerlukan pendidikan berkualiti sebagai keperluan asas yang penting dalam kehidupan mereka untuk menjamin masa depan yang cerah.

“Matlamat utama acara ini adalah untuk menyediakan ruang bagi kanak-kanak dan remaja supaya dapat menjalankan eksperimen sains sambil berhibur. Secara tidak langsung, program ini dapat menarik minat generasi muda meningkatkan motivasi menceburi kerjaya dalam bidang sains, menerapkan nilai etika dalam diri pelajar, melaksanakan amanah serta sikap kesukarelaan dan kerjasama,” katanya.

Seramai 90 pelajar Jabatan BSM menjalankan aktiviti bersama-sama 150 kanak-kanak atau remaja yang mengunjungi program itu antaranya ialah membangunkan model, simulasi, permainan, teka teki dan eksperimen sains.

“Program ini juga diharap dapat meninggalkan impak yang positif terhadap komuniti dengan menjalinkan perhubungan luar di antara pihak universiti, industri dan komuniti,” katanya.

Antara aktiviti program ialah 15 aktiviti sains yang menyeronokkan dan tujuh aktiviti rekreasi seperti pertunjukan badut, tatu henna, lukisan muka, rumah berhantu dan faktor misteri, gerai jualan barang-barang terpakai serta makanan dan minuman. - UPM

 

 

Tarikh Input: 21/12/2017 | Kemaskini: 02/01/2018 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1537847138