| Universiti Putra Malaysia

“Saya berbelah bahagi untuk pulang...”

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 2 Mei – Pelajar Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Murshid Mohamad Shukri berasa berbelah bahagi untuk pulang ke kampung kerana khuatir tidak dapat mengikut kelas secara online atas faktor talian internet yang agak perlahan  di kampung halamannya.

 

Beliau yang berasal dari Manjung, Perak berkata walaupun begitu, beliau gembira untuk pulang ke kampung halaman kerana sepatutnya beliau pulang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Pada awal Mac lalu saya ada tugasan projek dan kerana itu saya mengambil keputusan untuk balik lewat sedikit walaupun pada masa itu sedang berlangsungnya cuti semester,” katanya.

 

Sepanjang PKP di UPM, beliau menggunakan masa untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi ujian yang ditetapkan oleh pensyarah serta mengenali rakan-rakan baharu di sekitar blok kolej kediaman Kolej Tun Perak (Kor SUKSIS), UPM.

“Kebanyakkan pensyarah masih menjalankan on going test secara maya dan pada minggu depan saya ada ujian jadi saya perlu menyiapkan tugasan serta mengambil peluang ini untuk ulangkaji  dan juga menyertai aktiviti yang disediakan oleh pihak UPM saya,” katanya.

Tambah beliau, PKP di kampus UPM secara langsung memberi manfaatkan kepada beliau untuk memperkukuhkan persahabatan dengan senior kolej kediaman dengan lebih erat dan beliau turut gembira pihak universiti mengambil berat  terhadap kebajikan pelajar serta  membekalkan makanan yang tidak berkurangan.

Muhammad Murshid berkata beliau akan jalankan kuarantin dengan keluarga sebagai langkah berjaga-jaga.

Tambah beliau, bagi pelajar UPM yang tidak dapat pulang kerana kediaman keluarga berada di zon merah, beliau berharap pelajar jangan berasa stress kerana ini demi kebaikan mereka.

“Jika rindu dengan keluarga boleh telefon atau video call keluarga serta elakkan mengurungkan diri terlalu lama dalam bilik, sekali sekala perlu keluar mengambil angin di sekitar kolej kediaman dan jika perlu bantuan maklumkan kepada felo mereka akan cuba usahakan yang terbaik,” katanya.

Bapanya, Mohamad Shukri Ismail berkata beliau berterima kasih dengan pihak UPM dan KPT berusaha untuk bawa pulang anaknya dengan selamat kembali ke kampung halaman.

“Saya akui berasa risau dengan keadaan keselamatan anak saya di kampus semasa pengumuman PKP pada 18 Mac lalu kini berasa lega anak saya dibenarkan pulang serta berterima kasih kepada pihak universiti dalam memastikan kebajikan pelajarnya dijaga,” katanya. – UPM   

SXDdUA~