Sarjana UPM Peroleh Ijazah Kedoktoran Berkembar Perancis-Malaysia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Sarjana UPM peroleh ijazah kedoktoran berkembar Perancis-Malaysia

Sarjana UPM peroleh ijazah kedoktoran berkembar Perancis-Malaysia


SERDANG, 4 Ogos (UPM) - Seorang pelajar jurusan kimia menjadi kebanggaan Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila berjaya meraih ijazah doktor falsafah berkembar Perancis-Malaysia, satu pencapaian yang dianggap jarang diraih.

Low Mei Lee, 26, yang memulakan pengajian kedoktoran dalam program sintesis di UPM pada tahun 2010, telah dianugerahkan biasiswa Eramus Mundus: MAHEVA bagi melanjutkan penyelidikan kedoktorannya di bawah seliaan Prof Clotilde Policar di Laboratoire des BioMolecules, Universite Pierre et Marie Curie (UPMC), Paris untuk tempoh 22 bulan bermula November 2011.

Merupakan seorang bekas pelajar Sekolah Perempuan Air Panas Setapak, beliau memperoleh ijazah Bacelor Sains (Kimia) kelas pertama pada 2010, serta turut dianugerahkan Pencapaian Tertinggi Akademik bagi jurusan Kimia.

Bagi memperoleh ijazah kedoktoran dari kedua-dua UPM dan UPMC, Low perlu mengharungi jangka masa satu tahun setengah di makmal kedua-dua universiti tersebut dan memberi fokus terhadap projek penyelidikannya mengenai sintesis, pencirian dan aktiviti biologi ligand asas dithiocarbazate-Schiff serta kompleks logam.

Secara ringkas, kajian beliau tertumpu kepada penekanan bagaimana logam boleh digunakan dalam pembuatan ubat-ubatan untuk membunuh bakteria tegal yang menjadi kebal terhadap pelbagai ubatan antibiotik biasa.

Beliau berkata, sembilan spesies utama bakteria, antaranya e.colli (penyebab kepada keracunan makanan) dan p. aerogenosa (di hospital), telah mangli terhadap ubatan biasa, justeru tumpuan kajiannya lebih terarah kepada metallodrugs.

Tambah beliau lagi, perjalanan ke makmal antara Paris dan Serdang telah memberikan peluang yang luar biasa dalam menyiapkan penyelidikannya. "Saya berjaya memperkenalkan kaedah perintis bagi sintetik untuk menyediakan agen terapeutik lebih baik terhadap kelas sebatian yang dikaji oleh sekumpulan penyelidik UPM sedekad yang lalu.



"Selain itu, penilaian biologi dan pelbagai pencirian fiziko-kimia/spektroskopi yang dijalankan dengan rakan penyelidik di Perancis telah membuka lembaran baru dalam memahami penemuan metallodrugs yang berpotensi."

Anak sulung daripada dua beradik kepada seorang juruelektrik berketurunan Baba yang berasal dari Melaka, manakala ibunya pula merupakan seorang staf pentadbiran, Low berkata, beliau mempunyai asas bahasa Perancis dan hanya bertutur ketika berada di Paris, namun berasa bernasib baik kerana mendapat bimbingan dari orang sekeliling.

Sementara menunggu konvokesyen, beliau bercadang untuk menjadi felo penyelidikan bagi meneruskan impiannya, iaitu bekerja di sebuah makmal yang berpengkalan di luar negara.

Beliau telah lulus thesis ijazah kedoktoran melalui persidangan video antara UPM dan UPMC yang dihakimi oleh juri daripada kedua-dua negara.

Walaupun penyelianya di UPMC ialah Prof Policar dan Dr Nicolas Delsuc, mentor dan penyelia utama sebenar beliau adalah Prof Karen A.Crouse dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains.

Beliau juga merupakan penerima kedua dari Malaysia yang berjaya memperoleh ijazah kedoktoran berkembar Perancis-Malaysia sejak cotutelle atau ijazah seliaan bersama diperkenalkan pada tahun 1999 melalui kerjasama dengan pihak Perancis.

Dr Afidah Abdul Rahim dari Universiti Sains Malaysia merupakan penerima Malaysia pertama yang dianugerahkan ijazah cotutelle apabila menamatkan ijazah kedoktoran beliau di Poincar Universiti Henri (UHP) antara 2002-2005.

Pada masa ini, terdapat sedozen pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian ijazah berkembar di bawah program MAHEVA yang terdiri daripada seorang pelajar UPM peringkat bacelor, dua pelajar UPM peringkat sarjana, enam lagi pelajar UPM di peringkat ijazah kedoktoran serta dua kakitangan UPM. Selebihnya dari Universiti Malaya dan UiTM, di mana kedua-duanya merupakan pelajar peringkat ijazah kedoktoran.

- UPM/kgo

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563454977