Saintis UPM Temui Rahsia Penawar Herba Kuno Iran Cegah Barah Hati | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Saintis UPM temui rahsia penawar herba kuno Iran cegah barah hati

Saintis UPM temui rahsia penawar herba kuno Iran cegah barah hati

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 3 Dis (UPM) – Seorang saintis Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya merungkai rahsia perubatan kuno Iran berkaitan penggunaan buah  ‘berberi’ dan kini menghasilkan minuman kesihatan yang kaya dengan bahan antioksidan serta baik untuk hati.

Seperti saintis dan penyelidik lain, Prof. Dr Fauziah Othman, Ketua Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, juga giat melakukan eksperimen terhadap pelbagai herba di negara ini untuk mencari penawar bagi penyakit kanser.

Bibit kejayaan Prof Fauziah bermula  lebih 10 tahun lepas  apabila seorang penuntut Iran memberi kepada beliau beberapa berberi kering. Menurut pelajar berkenaan, seperti safron, beriberi juga diguna secara meluas di Iran sebagai perasa dalam makanan dan penduduk negara itu (seperti nenek moyang Parsi mereka) percaya bahawa buah ini baik untuk kesihatan.

Menurut saintis ini, ketika berkunjung ke Iran, beliau tertarik dengan warna merah garang berberi, yang pohonnya tumbuh subur di samping saffron di lereng bukit dan kawasan lapang.



Melalui kajiannya tentang buah itu, Prof Dr Fauziah mendapati ahli falsafah dan ilmuan terkenal Parsi, Ibnu Sina dalam sebuah karya perubatannya menyebut tentang khasiat berberi yang mampu mengubati pelbagai penyakit.

Berikutan itu, beliau membuat keputusan untuk melakukan eksperimen dengan menggunakan kultur tisu hati yang dihidapi kanser serta model kansel hati tikus.

Beliau terkejut apabila mendapati kultur hati yang menghidapi kanser mengecut, manakala tikus berkenaan, yang dijamu dengan pekatan pelbagai  jus berberi, tidak meghidap kanser hati, walaupun diberi karsinogen. Sekumpulan lagi tikus yang tidak dijamu dengan jus beri pula menghidap kanser hati.

Secara keseluruhan, Prof Dr Fauziah dan kumpulan penyelidiknya menghabiskan masa lebih 13 tahun untuk membuat analisis tentang berberi yang tumbuh di merata tempat di dunia yang beriklim sederhana dan subtropika. Tumbuhan ini ditanam secara meluas dan turut dijadikan minuman di Iran.

Melalui penyelidikan yang dilakukan, Prof Fauziah dan kumpulannya mengenal pasti dan mendokumentasikan  komposisi kimia serta khasiat pemakanan buah berkenaan dan hasil daripada ujian makmal secara terperinci, beliau mencipta sejensi minuman kesihatan atau makanan tambahan yang beliau namakan “OgyBerry Juice”.



“Ogy-Berry terbukti mengandungi aktiviti antioksiden yang tinggi  (lebih 80 peratus bagi setiap pekatan 2mg/ml) dan berpotensi besar mampu mencegah kanser hati,” kata Prof Dr Fauziah, yang memperoleh PhD daripada University of Glasgow pada 1997 setelah mendapat ijazah sarjana sebagai Doktor Perubatan Veterinar dan ijazah sarjana daripada UPM pada 1985 dan 1993.

Ketika bertugas sebagai pensyarah di UPM, beliau membuat keputusan mengikut suaminya   (Dr Mohd Azam Khan b. Goriman Khan, kini Dekan Fakulti Perubatan  Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan)  ke Glasgow dan di sana, beliau mengikuti program PhD. 

Prof Dr Fauziah berkata beliau berjaya mendapat perkhidmatan sebuah kilang bagi menghasilkan 300 botol OgyBerry untuk Ekspo Pertanian yang diadakan bersempena majlis konvokesyen UPM akhir bulan Oktober dan produk berkenaan habis dijual.

Seribu botol pertama yang dikeluarkan dulu juga habis dijual dan UPM melantik dua usahawan siswazah untuk mengendalikan perniagaan ini.



“Kami dalam proses untuk mendaftar tanda dagangan kami,” kata ibu kepada dua anak lelaki dan seorang perempuan ini, yang dua daripada mereka sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah perubatan.

Jus OgyBerry memberi laluan kepada profesor berasal dari Kelantan ini untuk memenangi pingat emas di Ekspo Teknologi Malaysia 2007. – UPM

 

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Prof Dr Fauziah Othman melalui:

Tel: 603-8947 2331

Email: fauziah@medic.upm.edu.my

 

-/kgo


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563508364