| Universiti Putra Malaysia

Safe Kids Malaysia UPM menang Prince Michael International Road Safety Award

Oleh Azman Zakaria

LONDON, 12 Dis - Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi anugerah berprestij ‘Prince Michael International Road Safety Award 2017’ hasil kejayaan program ‘Motorcycle Child Helmet’ yang dijalankan di sekolah-sekolah rendah di Selangor.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Profesor Madya Dr. Kulanthayan K.C. Mani menerima anugerah itu daripada Yang Amat Mulia Putera Michael dari Kent, di The Savoy, London.

Prof. Madya Dr. Kulanthayan dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM disertai oleh Dekan FPSK, Profesor Dato’ Dr. Abdul Jalil Nordin.

Safe Kids Malaysia UPM yang merupakan anggota Safe Kids Worldwide USA dan Global Alliance of NGOs on Road Safety di platform antarabangsa, dan di peringkat dalam negara pula adalah anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), pada 2016 melaksanakan pendekatan berkaitan Inisiatif ‘Motorcycle Child Helmet’ di Selangor.

Inisiatif itu menghasilkan impak yang baik dengan peningkatan Penggunaan Topi Keledar di Kalangan Kanak-kanak yang menaiki motosikal dalam setahun daripada  3.6 peratus kepada 35.5 peratus selepas dilaksanakan, manakala penggunaan topi keledar di kalangan dewasa yang menaiki motosikal turut meningkat daripada 75.6 peratus kepada 87.3 peratus.

Pengarah Prince Michael International Safety Awards Program, Adrian Walsh berkata Yang Amat Mulia Putera Michael dari Kent telah meluluskan perakuan 

Panel Penilai bahawa Safe Kids Malaysia UPM wajar menerima anugerah berkenaan berdasarkan usaha ideal yang dilakukan Safe Kids Malaysia UPM yang membolehkan maklumat dan pengetahuan disampaikan sehingga menghasilkan kesan positif dengan peningkatkan penggunaan topi keledar.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris bersyukur atas kejayaan cemerlang Safe Kids Malaysia yang berpangkalan di FPSK, UPM itu dalam program jaringan komuniti berkenaan yang sekali gus menambah serta memperkukuhkan pengetahuan masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Dato’ Rosli Isa mengucapkan tahniah kepada Safe Kids Malaysia UPM atas kejayaan berkenaan, serta menghargai kerjasama yang dijalin dengan JKJR dalam Inisiatif ‘Motorcycle Child Helmet’ itu.

Wakil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Profesor Madya Dr. Zainal Abidin Sanusi (Kaunselor Pendidikan Menteri) turut menghadiri majlis itu. - UPM 

WXESLA~