| Universiti Putra Malaysia

Safe Kids Malaysia UPM beri topi keledar kepada murid SJK Tamil Kajang


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Noorazreen Awang

KAJANG, 22 Nov – Safe Kids Malaysia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK),  Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia mengedarkan 40 topi keledar percuma kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kajang, Selangor sempena program inisiatif penggunaan topi keledar kanak-kanak.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia UPM, Prof. Madya Dr. Kulanthayan KC Mani berkata objektif program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran terutama di kalangan ibu bapa mengenai kepentingan penggunaan topi keledar kepada kanak-kanak.

“Topi keledar keselamatan motosikal berkemampuan mengurangkan risiko dan tahap kecederaan sebanyak 72% serta mengurangkan kebarangkalian kematian sehingga 39%. Sebanyak 37% kanak-kanak menggunakan topi keledar dewasa, 24% menggunakan topi keledar permainan dan bakinya tidak menggunakan langsung topi keledar,” katanya.

Beliau berkata, topi keledar kanak-kanak itu yang turut ditaja oleh Safe Kids Worldwide Amerika Syarikat dan Halliburton Charitable Foundation mempunyai  label SIRIM yang sesuai dan berpiawai.

“Kajian yang saya jalankan mendapati hanya 3% kanak-kanak yang menggunakan topi keledar kanak-kanak berlabel SIRIM, dan 97% peratus tidak mendapat perlindungan keselamatan yang sepenuhnya semasa menggunakan motosikal,” katanya.



Antara aktiviti yang dijalankan semasa program itu ialah demonstrasi pemakaian topi keledar kanak-kanak oleh Pengarah JKJR Selangor, Mohammad Fakhri Mansor.

Sementara itu, Safe Kids Malaysia, FPSK, UPM dan JKJR Malaysia berhasrat untuk mencapai sasaran Sustainable Development Goal (SDG) 3.6 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mensasarkan pengurangan sebanyak 50% kematian jalan raya menjelang tahun 2020 dan SGD 11.2 yang menyentuh penambahbaikan keselamatan jalan raya bagi golongan kanak-kanak menjelang tahun 2030. – UPM


SXDcRA0~