Rumah Tradisional Melayu Perak ‘berhijrah’ Ke UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Rumah tradisional Melayu Perak ‘berhijrah’ ke UPM

Rumah tradisional Melayu Perak ‘berhijrah’ ke UPM

Oleh Noor Eszereen Juferi dan Khairul Anuar
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG –  Apabila anda menyusuri jalan masuk utama ke Universiti Putra Malaysia (UPM),  pasti terlihat indahnya tersergam sebuah rumah Melayu tradisional bersebelahan Sanggar Bahasa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

Walau bagaimanapun, rumah tradisional pembesar Seri Menanti Negeri Sembilan itu yang telah dipindahkan pada Februari lalu bakal diserikan lagi dengan pembinaan sebuah lagi rumah tradisional kedua iaitu Rumah Kutai Perak berusia lebih 100 tahun.

Rumah Kutai yang kini milik Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipindahkan dari tebing Sungai Perak di Kampung Pediat, Bota Kanan dan bakal didirikan semula tidak lama lagi.

Rumah Kutai yang bermaksud tua pada masyarakat Perak wujud di sepanjang Sungai Perak telah diserahkan oleh Ahmad Ghazali yang merupakan anak kepada waris, Allahyarhamah Putih Halimah Uda Noh untuk dipulihara oleh UPM.


Pewaris rumah kutai, Ahmad Ghazali


Keunikan Rumah Kutai yang hanya terdapat di sekitar tebing Sungai Perak mempunyai keunikan tersendiri dalam seni bina estetika kemelayuan. Hasil tinjauan saya terhadap16 rumah Kutai, didapati inilah rumah Kutai yang berusia lebih 100 tahun tercantik, besar dan masih terpelihara.

“Rumah Kutai ini mempunyai ciri-ciri menangkis serangan musuh kerana mempunyai lubang-lubang khas pertahanan bagi menangkis serangan musuh, bertangga amat tinggi dengan kecuraman 90 darjah yang menyukarkan musuh untuk memanjat,” kata Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latif.

Beliau yang merupakan Pengarah Muzium Warisan Melayu UPM berkata keutuhan dindingnya berbeza dengan rumah Melayu lain kerana menggunakan kayu Cengal di mana Cengal  pada rumah Melayu lama kebiasaannya hanya dibuat pada tiang.

Satu lagi strategi perlindungan untuk pertahanan yang menarik ialah lotengnya bukan sahaja tiada tangga malah terletak lebih tinggi daripada rumah Melayu lain untuk menyukarkan musuh memanjat ke tempat perlindungan kaum wanita dan kanak-kanak.

Saya difahamkan rumah Kutai ini dimiliki oleh keluarga bangsawan berketurunan Ngah. Tidak hairanlah rumah-rumah Kutai yang banyak terdapat di tebing Sungai Perak dari Kuala Kangsar ke Pasir Salak mempunyai sistem pertahanan yang ampuh kerana pada masa itu terdapat lanun yang menyusuri sungai telah merompak beberapa rumah,” kata Pauzi.

Sementara itu pewaris Rumah Kutai, Ahmad ketika ditemui semasa membuka rumahnya berkata sebelum itu beberapa pelajar seni bina telah mengadakan kajian mengenai rumah tradisional tersebut.

“Harapan saya apabila rumah ini dipindahkan di di UPM, masyarakat akan mengenali  serta mempelajari tradisi pembuatan dan kesenian rumah kutai dan warisan Melayu,” katanya.



Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad berkata selaras dengan penubuhan Muzium Warisan Melayu yang mempunyai galeri dua tingkat serta Perkampungan Warisan Melayu yang terdiri daripada rumah-rumah Melayu tradisional, FBMK akan menubuhkan Pusat Penyelidikan Warisan Melayu untuk tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

“Pusat ini akan memperkenalkan mata pelajaran baharu untuk pelajar bacelor iaitu Komunikasi Warisan.

“Menjelang tahun hadapan, Perkampungan Warisan Melayu FBMK UPM akan melengkapkan penempatan tiga buah rumah tradisional iaitu rumah Kutai Perak, rumah Terengganu selain rumah yang ada sekarang iaitu rumah Negeri Sembilan sebagi mewakili tiga zon seni bina wilayah Melayu berbeza.

Mua’ti berkata usaha-usaha yang dibuat FBMK terhadap Muzium Warisan Melayu, Perkampungan Warisan Melayu dan mata pelajaran Komunikasi Warisan adalah selaras dengan hasrat Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan yang ingin melihat FBMK memperkasakan pengantarabangsaan warisan Melayu.

“Naib Canselor berharap melalui pengantarabangsaan warisan Melayu yang unik dan estetik ini, UPM dapat memulihara khazanah warisan untuk memupuk generasi tempatan dan antarabangsa akan datang agar menghargainya.  Kini UPM satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang mempunyai Muzium Warisan Melayu.

(ikuti bahagian 2 mengenai Muzium Warisan Melayu akan datang)


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563457085