| Universiti Putra Malaysia

Rentas Laut China Selatan setiap minggu untuk dapat Ijazah Ph.D

Oleh: Dr. Cheng Kai Wah

SERDANG, 11 Jan – Demi untuk mendapatkan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Dr. Siti Sabihah Ghazali melalui tempoh getir dengan terpaksa merentas Laut China Selatan saban minggu selama tujuh semester, menaiki pesawat dari Sarawak untuk menghadiri kuliah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Walaupun pergerakan saya sepanjang tujuh semester amat memenatkan tetapi saya ingin menjadikan diri saya sebagai teladan dan inspirasi kepada pelajar dan masyarakat.

“Kita mesti mendisiplinkan diri dalam menuntut ilmu,” katanya yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Pendidikan pada Majlis Konvokesyen UPM ke-44 di sini, hari ini.

Dr. Siti Sabihah, 35, dari Sekolah Pengajian Siswazah, UPM berjaya menamatkan sesi pengajian Ph.D dalam tempoh tujuh semester.

Guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Sibu, Sarawak itu berkata pengurusan masa sangat penting kerana jadual beliau sangat padat.

“Saya perlu mengajar sebanyak 33 waktu dalam seminggu dari Isnin hingga Khamis. Selepas waktu persekolahan, saya akan terus menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur kerana perlu menghadiri kuliah dan membuat kerja penyelidikan pada petang Khamis dan Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, selepas waktu kuliah, beliau akan menjadikan Perpustakaan Sultan Abdul Samad sebagai rumah keduanya untuk menulis tesis.

“Saya akan balik ke Sibu pada Sabtu bagi membuat persiapan pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk minggu pengajaran yang seterusnya. Saya juga menggunakan masa ketika di dalam kapal terbang untuk membaca kertas penerbitan untuk tujuan penulisan tesis.

“Begitulah pergerakan saya sejak hari pertama mendaftar sebagai calon Doktor Falsafah sehingga tamat pengajian,” katanya yang menjadikan kata-kata ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ sebagai antara pedomannya.

Menurutnya, sokongan semangat dan restu ahli keluarga merupakan daya kekuatan utama untuk beliau menghabiskan pengajian Ph.D.

Pada masa yang sama, katanya, mahasiswa perlu memastikan mempunyai waktu tidur yang mencukupi serta meluangkan masa untuk bersukan bagi memastikan badan cergas dan otak cerdas. – UPM

WXDdUAQ~