‘REMDII Sensitive’ Bantu Pulih Penyakit Ekzema | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » ‘REMDII Sensitive’ bantu pulih penyakit ekzema

‘REMDII Sensitive’ bantu pulih penyakit ekzema

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Noor Azreen Awang

SERDANG, 7 Jun - Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan produk bebas steroid untuk rawatan penyakit kulit atau ekzema, yang berupaya mengurangkan kegatalan dan pengelupasan serta dapat merawat keadaan kulit dalam masa hanya dua minggu.

Produk berupa krim ultra pelembap semula jadi berasaskan spektrum penuh vitamin E daripada ekstrak kelapa sawit yang bebas steroid itu dikenali sebagai REMDII Sensitive.

Prof. Dr Lai Oi Ming dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul yang mengetuai penyelidikan itu berkata REMDII Sensitive dibangunkan tanpa unsur bahan awet dan mengandungi bioaktif anti radang nano yang mampu untuk menembusi lapisan dermis kulit bagi merangsang pemulihan.

“Produk ini dirumus dengan minyak olein ekstrak daripada sawit merah (RPO), kaya dengan tokoferol, tocotrienol dan karotenoid yang merupakan ramuan utama formulasi penjagaan kulit,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan pihaknya menunjukkan bahawa kebanyakan daripada emolien iaitu bahan-bahan yang digunakan untuk mencegah atau mengurangkan kekeringan sebagai perlindungan bagi kulit, yang dijual untuk melegakan ekzema tidak mengandungi bahan-bahan aktif, sebaliknya mempunyai banyak bahan kimia sintetik, pengawet dan bahan asas yang murah yang mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan.

Ekzema adalah penyakit yang boleh menjangkiti individu pelbagai peringkat umur terutama kanak-kanak berpunca daripada keradangan, kekeringan, kemerahan kulit serta nanah dari luka lama.  Sehingga ini tiada penawar mujarab berjaya dihasilkan.

Prof. Dr Lai berkata, biasanya terdapat dua pendekatan untuk merawat ekzema iaitu penggunaan steroid bagi mengurangkan kesan eksema, diikuti dengan krim emolien atau pelembap yang baik.

“Penyelesaian dan alternatif kami kepada steroid topikal adalah REMDII Sensitive, krim pelembab dalaman yang dirumuskan dengan spectrum vitamin E dilengkapi dengan bahan-bahan lain dalam campuran keseimbangan untuk membaiki kulit bermasalah tanpa penggunaan steroid.

“Tokoferol dan tocotrienol telah terbukti secara klinikal untuk mengurangkan gatal-gatal dan kesan terbakar dengan cepat dan berkesan melalui tindakan anti-oksida dan anti-radang,” katanya.

Selain itu, katanya, allantoin dan asid hyaluronik dalam formulasi itu mampu menyediakan lipid fisiologi utama dan kuasa penghidratan yang kuat untuk mengembalikan kawasan kulit yang dijangkiti kepada keadaan asal.

“Data pra-klinikal menunjukkan bahawa formulasi REMDII berjaya mengurangkan kegatalan, mengelupas dan dengan berkesan membaiki keadaan dermatitis atopik dalam masa hanya dua minggu,” katanya sambil menjelaskan bahawa REMDII Sensitive akan turut memenuhi keperluan pasaran produk halal yang besar.

Beliau berkata penyelidikan dimulakan pada Januari 2014 dan berakhir April 2016, dan REMDII Sensitive telah dipatenkan. Namun ujian klinikal masih diteruskan bagi meningkatkan lagi mutu produk.

Produk itu dikomersilkan melalui syarikat Lipidware Sdn Bhd. Pada majlis itu pertukaran dokumen perjanjian pelesenan dan pertukaran memorandum Persefahaman (MoU) antara Lipidware dan Human Life Advancement Foundation (HLAF) bagi pemasaran produk itu ke Asia Barat turut diadakan. - UPM   

Kemaskini:: 14/06/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511157341