| Universiti Putra Malaysia

Redah api selamatkan pendrive, ibu kepada 5 anak akhirnya raih Master

Oleh Amira Rafiq

SERDANG, 18 Nov - "Kalau abang sedar pada masa tu, abang dah halang awak. Buat kerja gila betul bahayakan diri sendiri," mulut Izyani mengungkap semula kata-kata suaminya memarahi beliau akan tindakan luar kawalnya dalam tragedi Oktober tahun lalu.

Bukan saja suami memarahi beliau malah, jiran tetangga serta ahli keluarga turut tidak menyetujui tindakan sepontannya.

"Tolonglah, saya nak masuk, saya nak masuk ambil pendrive. Pendrive tu berharga sangat bagi saya, segala data penyelidikan Master saya ada dalam situ," rayu Izyani kepada seorang lelaki yang membantu untuk memadamkan kebakaran rumahnya akibat litar pintas di Dengkil tahun lalu.

Bukan sekali dua Izyani merayu malah puluhan kali, akhirnya selepas gagal, beliau menerjah  masuk rumahnya walaupun dihalang oleh orang ramai.

Jika tidak kerana kedegilan menyelamatkan pendrive pentingnya itu, beliau mungkin tidak mampu bergraduasi pada Majlis Konvokesyen ke-43 Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari ini. Mata Izyani mula berkaca menceritakan cabaran getirnya menghadapi peringkat akhir pengajian Masternya tahun lalu.

Sering membuat semula penyelidikan dan melakukan pembetulan major ke atas proses penyelidikan dalam bidang Master Sains Fisiologi Tumbuhan, Izyani Raship, 39 memerlukan jangka masa sedekad untuk bergelar graduan.

Menukar tajuk penyelidikan, menambah eksperimen, membetulkan tesis dan menangguhkan semester kerana empat kali bersalin sepanjang pengajian, satu demi satu cabaran tersebut tidak mematahkan semangat Izyani untuk terus bertahan demi mencapai impian menggenggam Master.

"Selepas rumah terbakar, saya bayar yuran pengajian semester dengan memecahkan tabung RM20 yang saya simpan setiap kali mempunyai duit nota bernilai RM20 sejak setahun lalu. Suami pada ketika itu sedang cuti sakit setelah koma akibat melecur teruk. Syukur duit tabung mampu menampung segalanya,” kata Izyani."

Kini, Izyani masih bekerja di MARDI sebagai pegawai penyelidik sejak 2004 dan tidak menolak untuk menyambung pengajian ke peringkat Ph.D di UPM jika berkemampuan atau diberi peluang biasiswa dalam bidang pengajian sama. - UPM

SXETVA~