Realisasikan ‘Taman Ilmu Dan Pemikiran’ Berasaskan Pengertian Ihsan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Realisasikan ‘Taman Ilmu dan Pemikiran’ berasaskan pengertian ihsan

Realisasikan ‘Taman Ilmu dan Pemikiran’ berasaskan pengertian ihsan

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris mahu semua warga universiti sama-sama berusaha merealisasikan citra UPM sebagai ‘Taman Ilmu dan Pemikiran’ berlandaskan kepada pengertian ihsan untuk kecemerlangan universiti.

Katanya, adalah menjadi impian beliau untuk menjadikan UPM sebagai sebuah ‘Taman Ilmu dan Pemikiran’ yang bersandarkan ihsan, bukan sekadar institusi yang mengeluarkan graduan sebagai tenaga kerja semata-mata, tetapi melahirkan insan yang berkeperibadian unggul yang mampu bersaing di peringkat global.

“Penekanan konsep ihsan sebagai tonggak kecemerlangan UPM akan menjadi usaha berterusan untuk memastikan warga UPM betul-betul memahami falsafah ihsan dan menghayatinya dalam kehidupan dan tugas harian,” katanya pada majlis Perutusan 100 Hari Naib Canselor UPM, di sini. Perutusan itu bertemakan ‘Ihsan Tonggak Kecemerlangan’.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) , Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Naib Canselor  (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato Dr Mohd Azmi Mohd Lila  dan Timbalan Naib Canselor  (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr.-Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo serta staf dan pelajar.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkata  tempoh 100 hari memegang jawatan Naib Canselor  memberi ruang kepadanya untuk merenung dan bermuhasabah, termasuk sama ada pencapaian dan perancangan selama ini membawa kepada fungsi universiti yang sebenar, dan sama ada nilai dan budaya kerja mencapai tahap kualiti yang tinggi untuk menghasilkan kecemerlangan.

“Persoalan ini tentunya memerlukan jawapan dan kesedaran betapa pentingnya aspek seperti kualiti, kesempurnaan, ketelitian kerja dan kecemerlangan dalam budaya kerja kita,” katanya.

Dalam tradisi keilmuan Islam, katanya, aspek itu diperjelaskan, difahami dan diungkapkan dalam satu istilah yang disebut sebagai ‘ihsan’.

“Secara umum, pengertian ihsan merangkumi setiap amal perbuatan atau pekerjaan yang baik, yang dilaksanakan dengan betul, mahir, efisien dan cekap, dengan tujuan mencapai kesempurnaan, mempunyai kualiti yang tinggi, serta kecemerlangan.

“Dalam konteks kerjaya dan pentadbiran, aspek ini sering diungkapkan sebagai ‘profesionalisme’ atau kecekapan kerja yang tinggi serta berkualiti untuk menghasilkan kesempurnaan,” katanya.

Beliau berkata, ia bertentangan dengan tabiat melakukan pekerjaan ‘asalkan siap’ atau ‘melepaskan batuk di tangga’ yang menyebabkan hasil kerja menjadi tidak sempurna atau ‘mediokriti’ (mediocrity).

Sehubungan itu katanya, kepemimpinan dan warga universiti wajar memahami konsep ‘ihsan’ yang akan menjadi seumpama ‘pendinding kendiri’ (self-guard) yang dapat mendorong untuk melaksanakan pekerjaan dengan penuh integriti, sekali gus memagari diri daripada melakukan kerja secara sambil lewa atau bertentangan dengan etika.

Katanya, integriti bukan sahaja melibatkan isu penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan tetapi juga pengabaian dalam melaksanakan tanggungjawab serta pembaziran dalam penggunaan sumber.

Ia juga meliputi sikap menghargai serta memelihara kepentingan universiti dan pelanggan, tidak mencemarkan nama baik universiti, dan meletakkan kepentingan universiti melebihi kepentingan diri sendiri.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini turut meminta warga UPM menjadikan amalan hijau sebagai budaya hidup ke arah kelestarian universiti dan masyarakat kampus yang prihatin.

“Kita perlu mencabar peranggu minda (mindset) dan paradigma kita dalam merencanakan kelestarian hijau, sejajar dengan pengertian ihsan yang merujuk kepada keharmonian hubungan kita dengan alam persekitaran, dan tanggungjawab manusia untuk mentadbir alam dengan sebaik-baiknya,” katanya. - UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860491