QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS 2017 23 Subjek UPM Terbaik Di Dunia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS 2017 23 subjek UPM terbaik di dunia

QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS 2017 23 subjek UPM terbaik di dunia

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh



  

SERDANG  - Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melonjakkan sebanyak 16 subjek dalam kedudukan 200 terbaik QS World University Rankings by Subject 2017 yang baru diumumkan pada 8 Mac 2017 hari ini.

UPM membuat lonjakan daripada 15 subjek pada tahun lalu kepada 16 subjek pada tahun ini dan menambah kedudukan 100 terbaik dunia dalam subjek Agriculture & Forestry selama lima tahun berturut-turut kepada dua subjek lagi iaitu Engineering - Chemical dan Engineering– Mechanical, Aeronautical & Manufacturing mengatasi lebih empat ribu universiti lain yang dinilai. Selain itu, sebanyak 23 subjek telah disenaraikan dalam 400 terbaik dunia tahun ini berbanding 19 subjek pada tahun lepas.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris merakamkan ucapan tahniah kepada semua staf dan pelajar yang telah menyokong kejayaan entiti-entiti UPM yang terlibat dalam meningkatkan prestasi institusi pada peringkat dunia.

“Kenaikan jumlah subjek kepada 23, mengekalkan subjek Pertanian dan Perhutanan dalam 100 terbaik dunia buat lima tahun berturut-turut dan menambah dua subjek lagi dalam 100 terbaik dunia adalah sesuatu prestasi yang membanggakan untuk UPM kerana persaingan dan prestasi agak memberangsangkan dari institusi serantau.

“UPM juga melonjakkan jumlah subjek 150 terbaik dunia daripada lima kepada lapan subjek.

“Pencapaian subjek Pertanian dan Perhutanan disumbangkan oleh Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan, Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains Pertanian Makanan serta institut-institut UPM yang menyokong bidang Pertanian menunjukkan UPM berjaya membangunkan reputasi antarabangsa untuk standard akademik dan kualiti graduan.”

“Pengukuhan kerjasama strategik dengan industri, kerajaan dan alumni termasuk institusi antarabangsa dalam meningkatkan kecemerlangan inisiatif pengantarabangsaan dan sekali gus meningkatkan sumbangan untuk agenda Malaysia dan menerjah persaingan global,” katanya.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkata antara kriteria dalam penarafan itu ialah pembinaan profil kukuh ahli akademik, penyelidikan berimpak tinggi, pengembangan dan pengajaran kepada masyarakat dan pengiktirafan majikan terhadap graduan di seluruh dunia.

“Peningkatan prestasi fakulti dan institut bidang itu di UPM dalam  aspek pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan jaringan antarabangsa dan kebangsaan turut membantu ranking,” katanya.

Beliau berkata kebelakangan ini UPM telah melakukan beberapa penambahbaikan dalam aktiviti pengantarabangsaan meliputi mobiliti pensyarah dan pelajar, penyelidikan dan penerbitan, penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi dan penerbitan buku yang menembusi pasaran antarabangsa.

“Penarafan dan penekanan kepada kualiti penyelidikan akedemik dan bilangan penerbitan dalam jurnal terkemuka dengan bilangan sitasi penerbitan (citations) dan H-Index bertambah sejak kebelakangan ini.

“Dalam bidang pengajaran, kurikulum yang disemak semula memberi penekanan bukan saja kepada kursus utama tetapi juga kursus-kursus sampingan yang membantu dalam keterampilan siswazah,” katanya.

Maklumat lanjut keputusan QS World University Ranking 2017 boleh didapati melalui https://www.topuniversities.com/subject-rankings/2017

Kemaskini:: 15/03/2017 [idah]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273