| Universiti Putra Malaysia

PUTRA®LACD satukan keunikan bahasa, budaya global

Oleh Noraida Ahmad Zaimi

SERDANG, 13 Nov - Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC) menganjurkan Putra®LACD (Language and Cultural Day) menghimpunkan keunikan bahasa serta budaya daripada kursus kemahiran bahasa Melayu dan bahasa global yang ditawarkan kepada pelajar prasiswazah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Program itu melibatkan pelbagai aktiviti bahasa antaranya Bahasa Melayu, Mandarin, Inggeris, Arab, Thai, Jepun, Myanmar, Perancis, Jerman, Turki, Tamil dan Sepanyol.

Keunikan bahasa global itu diterjemahkan melalui acara persembahan kebudayaan, tayangan filem, pameran, masakan tempatan dan antarabangsa serta demonstrasi penyediaan makanan.

Putra®LACD itu bertemakan “Celebrating Cultural Diversity and Uniqueness”.

Pengarah program, Nur Aimie Nabila Fauzi berkata Putra®LACD dapat menjadi jejambat kepada pelajar UPM untuk meningkatkan kemahiran bahasa yang dipelajari serta memahami budaya bahasa sasaran.

Katanya, program itu memberi pendedahan kepada orang awam mengenai bahasa-bahasa yang ditawarkan di CALC.

“Penganjuran Putra® LACD pada tahun ini memberi manfaat dan lembaran baharu kepada mahasiswa UPM akan kepentingan menguasai bahasa global di samping menghayati budaya dan adat yang diamalkan oleh penutur bahasa tersebut,” katanya.

Pelajar Bacelor Sastera (B.A.) Bahasa Inggeris Linguistik, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Amjad Hakimi Adam, berkata program itu memberikan pelbagai manfaat kepada pelajar untuk mengenali budaya negara lain serta memperkukuhkan hubungan antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.

“Amat penting untuk kita mempelajari bahasa dan budaya negara lain kerana pada masa kini, hubungan antarabangsa amat penting bagi memajukan lagi Malaysia. Membina imej yang bagus dari awal melalui mempelajari bahasa dan budaya negara lain akan menolong Malaysia untuk membina satu hubungan yang kukuh bersama negara tersebut,” katanya.

Pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, Eiffah Syaneez Ahmad Ezzat, berkata program Putra®LACD perlu diadakan setiap tahun serta memberi peluang kepada pelajar UPM untuk berkomunikasi dengan orang luar terutamanya yang kurang bersosial.

“Hal ini bukan sahaja memudahkan seseorang itu apabila berada di negara itu, malah dalam alam pekerjaan juga untuk berkomunikasi dengan orang luar seperti kolaborasi dengan syarikat luar di peringkat global,” katanya. - UPM

WXDcWAp~