Putra Plantation Forum Tingkat Pengetahuan Kelestarian Perladangan Kelapa Sawit | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Putra Plantation Forum tingkat pengetahuan kelestarian perladangan kelapa sawit

Putra Plantation Forum tingkat pengetahuan kelestarian perladangan kelapa sawit


Oleh: Yasmin Yusoff
Foto oleh: Norazreen Awang


SERDANG, 11 Feb – Institut Kajian Perladangan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Putra Plantation Forum Series 1 bagi mempertingkatkan ilmu pengetahuan mengenai kelestarian industri perladangan kelapa sawit di Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila berkata forum yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk memastikan kelestarian dalam industri kelapa sawit serta menjadi platform kepada universiti mengikuti perkembangan industri tersebut.

“Forum ini adalah platform penting bagi individu-individu, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) untuk bertukar pandangan mengenai status perladangan khususnya kelapa sawit di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, forum itu turut memberi peluang untuk universiti, ahli masyarakat dan industri perladangan menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha memajukan industri perladangan kelapa sawit yang lestari.

“Negara kita adalah pengeluar komoditi minyak sawit yang penting di dunia, dan komoditi itu berperanan sebagai pemacu ekonomi negara. Pengeluarannya dapat diusahakan secara lestari sekiranya penekanan yang sewajarnya diberikan kepada industri perladangan, yang seterusnya akan menyumbang kepada ekonomi negara dan pembangunan masyarakat desa,” katanya.



Pengarah Institut Kajian Perladangan, UPM, Prof.Dr. Mohd Khanif Yusop pula berkata siri forum itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan menjemput personaliti ternama dalam bidang industri perladangan tempatan dan antarabangsa sebagai penceramah jemputan.

“Ini bertujuan melibatkan UPM dalam memajukan industri perladangan negara melalui penglibatan dalam penyelidikan, penawaran program siswazah serta perkhidmatan perundingan dalam industri berkenaan serta menyumbang kepakaran dalam bidang pertanian dan perladangan,” katanya.

Sementara itu, forum bertajuk ‘The Paradox of Oil Palm Sustainability’ disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Palm Oil Council (MPOC), Tan Sri Dr. Yusof Basiron,  tokoh yang berpengalaman luas dalam industri perladangan tempatan dan global.

Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia, Central Board Of Irrigation and Power CBIP (Milling) dan juga Sime Darby Berhad. Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). - UPM

 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112460