| Universiti Putra Malaysia

Putra FoodBank dilancar, beri makanan kepada pelajar asnaf, miskin

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Marina Ismail

SERDANG, 28 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Putra FoodBank yang menyedia dan membekalkan makanan kepada pelajar daripada golongan asnaf dan fakir miskin.

Melalui Putra FoodBank itu, pelajar yang layak dan dikenalpasti, akan diberikan makanan sekali gus untuk membolehkan mereka fokus kepada pembelajaran tanpa perlu memikirkan mengenai keperluan makanan mereka.

Stok makanan dibekalkan oleh pembekal untuk penyimpanan di ‘centre storage’ di Kompleks Mahasiswa UPM di sebelum diagihkan kepada pelajar terbabit.

Pelaksanaan Putra FoodBank dikendalikan oleh sukarelawan daripada kalangan pelajar dengan diselia oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).  Program itu dijalankan dengan kerjasama Food Aid Foundation dan Yayasan Foodbank Malaysia sebagai rakan strategik pelan, serta Kechara Soup Kitchen dan Mutiara Foodbank.

Penyumbang makanan adalah TESCO, Giant Hypermart, AEON dan 99 Speedmart.

Putra FoodBank dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Muez Abd Aziz; Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Muhammad Izzuddin Rosli.

Datuk Seri Saifuddin ketika berucap berkata, beliau berbangga dengan inisiatif yang didokong oleh pentadbiran univerisiti dan MPP itu yang merupakan satu lagi platform untuk pelajar yang kurang berkemampuan mendapat bantuan berbentuk makanan.

Katanya, kementerian itu menyasarkan untuk menjayakan program FoodBank Siswa di semua Institusi Pengajiaan Tinggi Awam (IPTA) tahun ini selaras dengan usaha untuk meringankan beban kos sara hidup pelajar yang kurang berkemampuan.

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini dalam ucapannya pula berkata, UPM turut memberikan prioriti yang tinggi kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi memastikan kesejahteraan mereka dapat diperitingkatkan agar dapat fokus kepada pembelajaran.

“Penubuhan Putra FoodBank adalah amat bertepatan dalam usaha kesinambungan bantuan kesejahteraan pelajar yang telah dilakukan UPM sebelum ini,” katanya.

Muhammad Izzuddin pula berkata, penerima bantuan itu dikenalpasti daripada data yang diperoleh daripada BHEP dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan) UPM. Penerima akan diberi kad pengenalan diri (ID) bagi memudahkan urusan pengambilan barangan makanan.

Pada majlis itu, 10 pelajar daripada golongan asnaf menerima bantuan makanan disampaikan Datuk Seri Saifuddin. – UPM 

WXEURAz~