Putra Bakti Dilancar, Jadi Platform Aktiviti Kesukarelawanan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Putra Bakti dilancar, jadi platform aktiviti kesukarelawanan

Putra Bakti dilancar, jadi platform aktiviti kesukarelawanan


Oleh Azman Zakaria
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 20 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan penubuhan ‘Putra Bakti’ sebagai platform untuk warga universiti bergerak secara bersama dalam melaksanakan aktiviti serta sumbangan kesukarelawanan kepada masyarakat, dengan fokus kepada bantuan kemanusiaan dan kepakaran.

Ia dilancarkan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr. Aini Ideris pada mallis Perutusan 100 Hari Naib Canselor UPM, di sini.

Ketika membacakan perutusan itu, beliau berkata, penjenamaan semula program kesukarelawanan UPM  sebagai ‘Putra Bakti’  dan digabungkan di bawah satu bumbung, bertujuan memastikan sumbangan kesukarelawanan UPM berada pada tahap yang lebih tinggi.



Katanya, pada masa ini aktiviti kesukarelawanan memang banyak dilakukan oleh warga  UPM tetapi dijalankan secara  in silo.

“Hal ini merugikan kerana ia tidak memberi impak yang besar. Sehubungan itu, adalah lebih baik jika aktiviti kesukarelawanan ini digerakkan secara kolektif dan diselaraskan di bawah satu koordinasi yang kukuh,” katanya dalam perutusan itu yang bertemakan ‘Ihsan Tonggak Kecemerlangan’.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) , Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Naib Canselor  (Akademik dan Antarabangsa) Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato Dr Mohd Azmi Mohd Lila  dan Timbalan Naib Canselor  (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr.-Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo serta staf dan pelajar.
 
Prof Datin Paduka Dr. Aini berkata aktiviti kesukarelawanan universiti mesti dijayakan dengan kesungguhan sehingga memberi impak yang tinggi.

“Justeru, saya mencadangkan tiga pendekatan yang boleh menggerakkan aktiviti kesukarelawanan ke tahap lebih tinggi, pertama; berfokuskan kepada nic universiti iaitu pertanian dan multidisiplin, kedua; berasaskan pemindahan ilmu dan kepakaran, dan ketiga; berkonsepkan kolektif dan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) dipertanggungjawabkan untuk merancang strategi yang boleh mengoptimumkan aktiviti kesukarelawanan yang berimpak tinggi. – UPM

 

 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511183728