| Universiti Putra Malaysia

Program “Putra Bakti: Outreach Physics” hapus persepsi Fizik susah

Oleh: Noor Eszereen Juferi






TELUK INTAN - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pasukan “Putra Bakti: Outreach Physics” menganjurkan program ‘Putra Outreach Physics Tour’ Siri 8 yang disertai 112 orang pelajar  tingkatan 5 Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) baru-baru ini.

 

Program yang berasaskan pemindahan ilmu dan kepakaran itu diketuai pensyarah kanan Jabatan Fizik, Fakulti Sains UPM, Dr. Yap Wing Fen dan disertai 34 orang ahli Kelab Mahasiswa Fizik UPM yang berperanan sebagai fasilitator program.

 

Dr. Yap berkata, kebanyakan para pelajar aliran sains sekolah menengah mempunyai persepsi bahawa pembelajaran mata pelajaran fizik amat sukar dan membosankan.

 

Katanya, objektif utama program adalah untuk membuktikan sebaliknya serta menunjukkan bahawa para pelajar mampu menguasai subjek fizik tanpa banyak penghafalan.

 

“Program bertemakan ‘Transfer, Transverse, Transform (Memindah, Melintas dan Mengubah)’ ini menggunakan pendekatan yang memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan dan mengalami sendiri konsep fizik yang berkait rapat dengan kehidupan seharian.

 

“Konsep dan aktiviti yang direncana adalah selaras dengan silibus mata pelajaran fizik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kaedah pemahaman yang lebih menghiburkan dan berkesan seperti nyanyian, aktiviti hands-on serta simulasi siasatan kes pembunuhan turut digunakan menerusi program ini,”  katanya.

 

Program selama tiga hari dua malam itu mampu menyemai minat terhadap ilmu fizik selain memindahkan ilmu tambahan kepada pelajar untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

 

Dekan Fakulti Sains UPM, Prof. Dr. Zainal Abidin Talib berkata aktiviti yang dirancang oleh pasukan Putra Bakti: Outreach Physics adalah berdasarkan pemikiran aras tinggi.

 

“Program ini dapat memberi dorongan dan memupuk budaya kesukarelawanan di kalangan mahasiswa agar prihatin dan mengambil berat dengan persekitaran. Pihak universiti amat menyokong dan menggalakkan mahasiswa menganjurkan aktiviti kesukarelawanan seumpama ini yang dapat menyumbang khidmat dan bakti kepada masyarakat melalui pemindahan dan transformasi ilmu,” katanya.

 





Presiden Kelab Mahasiswa Fizik, Fida’i Rahmat berkata beliau teruja  kerana diberi peluang untuk terlibat sebagai fasilitator serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari kepada pelajar.

 

“Saya juga dapat membantu pelajar untuk memahami konsep fizik dengan betul dan seterusnya memupuk minat terhadap mata pelajaran ini. Saya berasa amat puas dan seronok kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

 

Peserta, Nur Amin, 17, berkata kaedah pembelajaran hands-on dan pendekatan fasilitator yang mesra berjaya mengubah persepsinya terhadap subjek fizik yang selama ini dianggap sukar

 

“Program seperti ini membuktikan bahawa fizik adalah kehidupan, bukan terhenti di dalam bilik darjah. Saya kini mampu mengaitkan banyak fenomena alam yang saya perhatikan setiap hari dengan fizik,” katanya.

 

Rakannya, Hafizul Hilmi, 17, berkata program itu sangat menarik kerana dapat meningkatkan aras pemikiran dan minat terhadap mata pelajaran fizik sekaligus menanam semangat belajar mereka.

 

“Slot siasatan kes pembunuhan sangat menarik, membolehkan pelajar berfikir di luar kotak dan seterusnya memberi kesedaran bahawa fizik  amat penting dalam kehidupan harian,” katanya. – UPM

 

 

WXDcRA~