| Universiti Putra Malaysia

Puas dapat bantu rakyat Palestin, kata penerima Anugerah Maulidur Rasul

Oleh Azman Zakaria


SERDANG:   “Meskipun sedikit bantuan diberi, tetapi mereka membalas dengan senyuman. Mereka tidak meminta-minta , tetapi apabila kami hulur buah tangan, mereka melahirkan penghargaan dengan ucapan yang begitu mengharukan.”

Itu kata-kata yang disimpulkan pensyarah Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor mengenai rakyat Palestin yang berdepan penderitaan akibat kekejaman Zionis Israel, ketika beliau yang mengetuai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Aqsa Syarif melakukan kerja-kerja bantuan kemanusiaan di negara berkenaan.

Katanya, perkara seperti itulah yang memberi kepuasan dan motivasi untuk beliau dan rakan-rakannya terus membantu melalui  misi kemanusiaan dengan mengutip dana bagi bantuan bekalan perubatan, makanan dan pendidikan.



“Ia menjadi azimat buat semua yang terbabit dalam misi kemanusiaan untuk membantu lebih banyak rakyat yang menderita,” katanya dalam temu bual di pejabatnya.  Beliau mula terbabit secara aktif dalam misi bantuan kemanusiaan pada tahun 2000, dan pada tahun 2010 pula melalui Aqsa Syarif yang ditubuhkan pada tahun itu.

Beliau seorang daripada penerima Anugerah Maulidur Rasul 1436H/2015 peringkat kebangsaan pada 3 Januari lalu. Anugerah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berupa wang tunai RM20,000, trofi dan sijil.

“Saya tidak menjangka menerima anugerah kerana pembabitan saya dalam kerja-kerja kemanusiaan ini adalah umpama rutin, dan saya terpanggil untuk melakukannya.

“Anugerah ini tidak berbentuk peribadi tetapi untuk perjuangan secara umum sebab yang terbabit adalah aktivis daripada pelbagai peringkat dan organisasi,” katanya.



Meskipun sibuk dengan tugasan sebagai pensyarah di UPM, Dr Hafidzi yang juga Pengerusi Aqsa Syarif membahagikan masa dan mengambil cuti untuk melaksanakan  kerja misi kemanusiaan, antaranya ke Gaza di Palestin dan Syria serta ke Aceh dan Maluku di Indonesia serta Mindanao, Filipina.

Tanpa sokongan majikan, katanya, sukar untuknya melaksanakan kerja-kerja itu dan hampir mustahil untuk dilakukan.

Baginya, membantu golongan yang menderita seperti rakyat Palestin, sebenarnya membantu golongan yang kuat kejiwaan dan ketahanan diri.

Katanya, ketika beliau berada di kem pelarian Palestin di Syria, penghuni kem itu bertanyakan kepadanya mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370.



“Mereka menyuarakan kesedihan dan simpati sedangkan mereka dalam keadaan seperti itu. Itu bermaksud bahawa kita sebenarnya membantu golongan yang  kuat kejiwaan dan ketahanan diri,” katanya.

Beliau juga berkata kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan pada hakikatnya boleh menyatukan manusia kerana ia membabitkan hati yang merentasi bangsa, kaum dan agama.

“Ini antara saluran terbaik yang boleh membantu mengurangkan ketegangan… bila berlaku bencana, rahmatnya ialah ia boleh merapatkan jurang yang wujud. Secara sengaja atau tidak, kita disatukan oleh perasaan kasih sayang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, inisiatif UPM menggalakkan kerja membantu mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini akan dapat mendekatkan mahasiswa dengan kerja-kerja bantuan kemanusiaan.

Katanya, mahasiswa yang dilihat sebagai tonggak masyarakat akan mendapat ‘hala tuju’ dan ‘bimbingan’ apabila turun menyelami penderitaan manusia. “ – UPM


SXETAAq~