| Universiti Putra Malaysia

Projek Gempur Tani KOSASS lahirkan mahasiswa holistik pertanian, keusahawanan

Oleh: Nur Fazrina Ismail

SERDANG: Inisiatif Projek Gempur Tani Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS) telah dimulakan pada Disember 2020 hasil perancangan Majlis Perwakilan Kolej sesi 2020/2021 bersama Pihak Pengurusan Kolej.

Ia selaras dengan Pelan Strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) iaitu kelestarian pertanian.

Projek Gempur Tani KOSASS diketuai pelajar tahun tiga Bacelor Sains Perniagaantani, PK Azhar Badruddin dan dipantau oleh dua Felo KOSASS Shuhaimi Abrahim dan Maznur Nazila Moin.

Idea inisiatif perancangan projek pertanian ini dicetuskan oleh PK Azhar yang menjadi teraju utama dalam membimbing 45 orang peserta yang terlibat.

Antara tanaman yang diusahakan adalah tanaman ladang seperti jagung, serai dan buah naga serta tanaman sayuran seperti kangkung, bayam hijau, kacang panjang, kalian, cili dan sawi.

Peserta Projek Gempur Tani KOSASS mengambil pendekatan kaedah penanaman batas dan intercropping iaitu dua atau lebih jenis tanaman ditanam di atas batas bersebelahan antara satu sama lain.

Hasil sumbangan daripada Persatuan Alumni PALAPES UPM iaitu Persatuan Al-Putra sebanyak RM 5,000 telah digunakan dalam menjayakan Projek Gempur Tani KOSASS yang berjaya memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta, felo dan Pihak Pengurusan Kolej.

Ia diharap dapat melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan holistik terutama dalam bidang pertanian dan keusahawanan. - UPM

SXEXOAb~