| Universiti Putra Malaysia

Projek Blue Pea Powder SAMT Sultan Hisamuddin juara Sains Inovasi


SERDANG, 20 Nov – Pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi  Sultan Hisamuddin (SAMTSH), Selangor berjaya bergelar johan dengan mempertandingkan projek inovasi iaitu Bionatural Blue Pea Powder  dalam Science Innovation and Invention Competition 2012 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama L’Oreal Malaysia.

Lima pelajar SAMTSH bergelar johan itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan trofi.

Che Azwira Che Aziz, guru penasihat bagi projek Bionatural Blue Pea Powder berkata kemenangan itu merupakan hasil kerjasama daripada ahli kumpulan yang telah membuat persedian rapi dalam menjalankan penyelidikan.

Bionatural Blue Pea Powder adalah hasil daripada penyelidikan awal pelajar terhadap bunga talang yang telah diekstrak menjadi serbuk sebagai bahan masakan nasi kerabu dan minuman.

“Dengan kemenangan ini, kita akan buat penilaian lanjut untuk dikomersialkan,” katanya.

Sementara itu, projek Pressure Stabilizer dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor muncul naib juara dengan meraih wang tunai bernilai RM2,000 dan trofi manakala projek inovasi Fruit Juice As An Electron Transfer Dye In A Dye–Sensitized Solar Cell dari SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor meraih tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.

Kategori dekorasi gerai terbaik dimenangi oleh pelajar SAMTSH dengan mempamerkan projek mereka iaitu Coco Dulcis Body Scrub manakala kategori inovasi terbaik dimenangi oleh SMK Jalan Empat dengan mengetengahkan projek Pico Hydro Power Generator for free Energy dengan masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM500, trofi dan sijil penyertaan.

Pertandingan itu telah menguji peserta dari segi rekaan saintifik yang memberikan tumpuan terhadap penggunaan teknologi terkini untuk mencari pelajar sekolah berprestasi tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan inovasi saintifik (biologi dan bahan), mengembangkan potensi dan kemahiran saintifik pelajar, meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial di antara pelajar.

Pengarah Urusan L’Oreal Malaysia, Andrew Stanleick yakin kerjasama L’Oreal dengan UPM pada karnival itu merupakan platform terbaik untuk menggalakkan pelajar sains muda mempamerkan bakat mereka.

“Ini merupakan peluang pelajar muda memupuk dan meningkatkan minat mereka terhadap sains serta menjadikan ia sebagai kerjaya mereka,” katanya.

Sementara itu, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) berkata karnival itu berfungsi untuk UPM mempamerkan maklumat hasil kajian saintifik yang mengumpulkan saintis muda dari sekolah berprestasi tinggi dan melahirkan pelajar berbakat dalam dunia penyelidikan serta penghasilan projek saintifik bertaraf antarabangsa.

“Ia dapat mengembangkan kreativiti pelajar ke peringkat lebih tinggi, membangunkan aplikasi pengetahuan sains dan  menempatkan nama sekolah berprestasi tinggi di peringkat antarabangsa sebagai pusat untuk pembangunan intelek,” katanya.

Enam buah sekolah yang mempertandingkan 12 projek pada karnival itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Damansara Jaya, SMK Tengku Ampuan Rahimah, SMK Seafield, SMK USJ 13, SMK Jalan Empat dan Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin.

Berita ini disedikan oleh Syifarida Muhamad Zaki, 03-89466013 dan foto oleh Marina Ismail, 03-89468985


WXDdNA~