Program ‘Ziarah Ihsan Ramadan @ WAZAN Di Hati’ Santuni Pelajar Asnaf | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program ‘Ziarah Ihsan Ramadan @ WAZAN di Hati’ santuni pelajar asnaf

Program ‘Ziarah Ihsan Ramadan @ WAZAN di Hati’ santuni pelajar asnaf

Oeh Mohd Noo Elmir Noorudin

SERDANG - Program ‘Ziarah Ihsan Ramadan @ WAZAN di Hati’ anjuran Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) kali ini berbeza dan lebih meriah daripada sebelum ini, dengan beberapa entiti lain turut dijemput menyertainya.

Program itu yang dahulunya dikenali sebagai ‘Program Ziarah Amal Ramadan’ hanya melibatkan kakitangan WAZAN tetapi kali ini beberapa entiti seperti Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CosComm), Pejabat Bendahari dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) turut dijemput.

Turut sama ialah beberapa orang pembayar zakat daripada kalangan warga UPM dan masyarakat setempat yang dibawa untuk melihat bagaimana zakat mereka diagihkan oleh WAZAN hingga sampai ke golongan sasar iaitu pelajar asnaf.

Seramai 100 orang pelajar asnaf UPM dari seluruh negara dipilih sebagai penerima tahun ini  iaitu Kelantan (30 orang), Terengganu (14), Perak (17),  Kedah (11), Selangor (tujuh), Johor (tujuh), Sabah (lima), Kuala Lumpur (empat), Negeri Sembilan (tiga) dan masing-masing seorang dari Sarawak, Perlis dan Melaka.

Mereka menerima RM1,500 untuk perisapan menyambut Hari Raya Aidilfitri serta barangan keperluan dapur seperti beras, gula, tepung dan lain-lain yang disumbang dan ditaja oleh agensi-agensi luar, kakitangan UPM dan masyarakat setempat.

Rata-rata mereka datang dari keluarga yang serba kekurangan dan mempunyai bilangan adik beradik yang ramai. Ada sebahagian penerima tinggal di rumah yang sangat daif dan pendapatan keluarga hanya sekadar cukup makan dan pakai sahaja.

Program ‘Ziarah Ihsan Ramadan @ WAZAN Di Hati’ ini berjaya menyerlahkan peranan WAZAN dalam menguruskan agihan zakat yang diterima daripada pembayar zakat UPM.

Dengan mendekati pelajar asnaf yang menerima agihan zakat, orang ramai akan lebih yakin dan teruja untuk membayar atau menambah zakat mereka seiring dengan slogan ‘Daripada Anda untuk Asnaf’ bagi meneruskan kelangsungan kehidupan para penerima bantuan zakat.

WAZAN mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program. - UPM

Kemaskini:: 02/08/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511032934