Program YES Pupuk Pelajar STAR Penyelidikan Alam Sekitar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program YES pupuk pelajar STAR penyelidikan alam sekitar

Program YES pupuk pelajar STAR penyelidikan alam sekitar


PORT DICKSON, 21 Okt – Seramai 32 pelajar tingkatan tiga Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh mengikuti program Young Environmental Scientist (YES) bagi memupuk minat dalam bidang penyelidikan sains alam sekitar baru-baru ini.

Pendedahan selama tiga hari dalam program anjuran Fakulti Pengajian Alam Sekitar (FPAS), UPM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNNS) itu bertujuan meningkatkan pemahaman pelajar mengenai pengurusan alam sekitar.

Pengarah program, Dr. Hafizan Juahir berkata program yang julung kali diadakan itu merupakan salah satu langkah proaktif untuk pelajar mendapatkan pendedahan kajian dalam bidang alam sekitar serta bersedia untuk menyertai pentandingan penyelidikan ke peringkat antarabangsa.



“Program ini memberikan pengalaman secara hands-on bagaimana penyelidikan boleh mencapai objektif kajian serta memberi pendedahan kepada saintis muda dalam bidang penyelidikan sains serta memahami pengurusan alam sekitar,” katanya pada program ekspedisi YES di Pusat Eco Edutourism, Hutan Simpan Sungai Menyala di sini.

Beliau berkata, lapan kumpulan pelajar akan menghasilkan laporan aktiviti hasil penyelidikan di sekitar hutan simpan dengan dibimbing oleh fasilitator pelajar FPAS peringkat ijazah pertama (tahun tiga) dan pelajar siswazah (Master dan PhD).

“Antara kajian yang akan dilakukan oleh pelajar di persekitaran hutan simpan itu ialah mengenalpasti tanah dan tumbuh-tumbuhan di kawasan hutan simpan tersebut dan penggunaan alat penyelidikan FPAS,” katanya.

Sementara itu, pelajar STAR, Aiman Amin Zuraimi berkata walaupun beliau ingin berkecimpung dalam bidang farmasi, program itu memberi manfaat kepadanya mengenali tumbuhan liar.

“Setelah mengikuti program YES, saya dapati ianya bukan sahaja pembelajaran dalam bidang sains malah mempelajari pelbagai pokok ubatan di sekitar hutan ini,” katanya.

 



Berita ini disedikan oleh Noor Eszereen Juferi, 03-89466013 dan foto oleh Marina Ismail, 03-89468985

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563351593