Program “UPM Young Doctors’ Day 2016” Beri Kesedaran Penjagaan Kesihatan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program “UPM Young Doctors’ Day 2016” beri kesedaran penjagaan kesihatan

Program “UPM Young Doctors’ Day 2016” beri kesedaran penjagaan kesihatan


Oleh:  Zamzarina Ahmad Bajari
Foto: Ahmad Fua’ad Alwi

SERDANG – Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), buat julung kalinya menganjurkan program ‘UPM Young Doctors Day 2016’ bagi memberi kesedaran penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Timbalan Dekan Siswazah, Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat, FPSK, Prof. Dr. Amin Ismail berkata program itu bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik universiti bersama masyarakat menerusi program berteraskan kesihatan.

“Program ini juga dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan kesihatan masyarakat, mencari penyelesaian kepada permasalahan kesihatan semasa negara serta usaha mentransformasikan masyarakat sihat,” katanya.



Beliau berkata, pelbagai modul interaktif yang menarik dan bersesuaian dengan pelajar sekolah rendah dihasilkan oleh para fasilitator.

Bahan modul yang kreatif serta inovatif ini berjaya menarik minat seramai 180 orang pelajar Tahun 5 untuk meneroka dunia perubatan dan kesihatan.

“Pihak fakulti berhasrat untuk menjadikan Sekolah Kebangsaan Sri Serdang sebagai Sekolah Angkat FPSK. Perancangan akan dibuat bagi mencapai matlamat dan kerjasama yang berterusan di antara UPM dan sekolah,” katanya.



Sementara itu, program dengan tema “Fever: Friend or Foe” dengan kerjasama Kelab Doktor Muda SK Sri Serdang, Serdang turut diadakan yang diterajui oleh Ketua Jabatan Patologi, FPSK, Prof. Madya Dr Norhafizah Mohtarrudin bersama sembilan orang ahli akademik,  21 orang staf sokongan dan 12 orang siswazah.

Antara modul aktiviti yang dilaksanakan adalah berkenaan peranan doktor, sistem pertahanan badan, demam dan puncanya, mengetahui suhu badan manusia, fakta dan mitos berkenaan demam, serta tips penjagaan kesihatan.

UPM menyasarkan untuk mengadakan lebih banyak program jaringan industri dan masyarakat yang berimpak tinggi dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kerjasama di antara UPM dan industri, selain bagi merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat - UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112995