| Universiti Putra Malaysia

Program SOAP pelajar Kolej 16 ke Thailand

Oleh Melissa Zaila Safira Mamat@Ali

CHIANG MAI (Thailand), 2 Julai – Pelajar Kolej Enam Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan Society Awareness Program (SOAP): Smiles Of Lanna Land di Chiang Mai dan Chiang Rai, Thailand untuk mendedahkan pelajar dengan warna warni kehidupan.

Ia adalah siri keenam program SOAP dan yang kedua ke luar negara selepas ke Kemboja pada 2019. SOAP kali ini menfokuskan kepada golongan kanak-kanak dengan membawa tagline ‘#smilesofChiangMaiChiangRaikids’.

Pegawai pengiring program, Siti Mahsuri Talib berkata ia tidak tertumpu kepada satu kelompok masyarakat di satu penempatan sahaja tetapi turut memfokuskan pelbagai kelompok seperti masyarakat bukit, mualaf, muslim dan muslim Cina-Thai di sekitar Chiang Mai dan Chiang Rai.

Pengarah program, Melissa Zalia Safira Mamat @ Ali, berkata Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM dan WAZAN turut menyumbang dana untuk program itu.

“Banyak pengalaman berharga diperoleh oleh kami sekali gus mencapai objektif penganjuran program dan berharap ia dapat dijalankan ke negara lain pula,” katanya.

Penerokaan pelajar di bumi Thailand bermula dengan siri jelajah ke perkampungan masyarakat bukit, Doi Pui Hmong Village di Chiang Mai dan mereka mendekati kanak-kanak di sekitar kampung secara spontan untuk melengkapkan tugasan yang diberikan.

Pelajar disambut baik untuk menjalankan aktiviti di kawasan sekolah iaitu Choupoloung School dan Doi Pui Kindergarden. Aktiviti bersama kanak-kanak turut diadakan di Civilize Pittaya School di Chiang Rai.

Ketika berkampung selama tiga hari di Mualaf Centre Mae Chan yang menempatkan pelajar Civilize Pittaya School, pelajar UPM berpeluang mendekati kehidupan kanak-kanak dan menjalankan aktiviti bersama-sama kira-kira 160 orang kanak-kanak berusia lima hingga 19 tahun.

Perlawanan bola tampar juga diadakan selain aktiviti ‘Kids and Calligraphy’, ‘Fruit Collage’, ‘Plant, Paint and Paste’ dan ‘Flora and Fauna Bookmark DIY’.

Pelajar Bacelor Pertanian (Akuakultur), Fakulti Pertanian, UPM, Muhammad Shahmi Sari berkata program itu adalah pengalaman baharu kepada dirinya yang pertama kali ke luar negara dan melihat kehidupan masyarakat Islam di Thailand.

“Kami tetap dapat berinterkasi dengan baik dengan kanak-kanak sepanjang menjalankan aktiviti walaupun sukar berkomunikasi kerana masyarakat di sini tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,” katanya.

Pelajar turut menyertai Majlis Pembukaan Masjid Huaisan di perkampungan masyarakat bukit yang terletak di Doi Chang, Chiang Rai yang mengambil masa tiga jam perjalanan menaiki kenderaan pick up untuk ke situ.

Pelajar menunaikan solat berjemaah di masjid itu bersama masyarakat di situ dan seorang mualaf dari kampung berkenaan yang memeluk Islam di pagi itu.

Warga Thailand dan Ahli Jawatankuasa Yayasan Rahmatan lil Alamin, Ustaz Jalaludin Chikmuda berkata kebanyakan masyarakat di perkampungan itu bukan beragama Islam.

Pelajar UPM turut menjalankan aktiviti Eksplorasi Halal di Kad Ban Ho di Halal Street Hilal Town, Chiang Mai yang merupakan pasar pagi yang dibuka setiap Jumaat bermula jam 6 pagi.

Di pasar itu, kebanyakan yang dijual adalah makanan dan barangan masyarakat berdarah campuran Thai dan Cina yang berasal dari Yunnan. Antara makanan istimewa ialah Ji Tau Fen, bubur kacang soya pekat dengan kacang dan mie halus, kimchi Cina, lempeng jagung, lempeng pulut hitam, bawang dan cili goreng tepung.

Ekplorasi itu memberi peluang kepada pelajar mengenali budaya dan tradisi masyarakat campuran Thai dan Cina yang menetap di Chiang Mai sejak 80 tahun dahulu. Pelajar juga bersolat Jumaat di Masjid Hidayatul Islam Banhaw, berdekatan Kad Ban Ho.

Program SOAP: Smiles of Lanna Land dilengkapkan dengan lawatan sekitar Chiang Mai dam Chiang Rai. Di Chiang Mai, pelajar melawat Tha Phae Gate, yang merupakan sebahagian binaan kubu Chiang Mai Old City.

Manakala di Chiang Rai, pelajar melihat seni dan kreativiti masyarakat Thailand di Baandam Museum Black House, Wat Rong Khun White Temple dan Blue Temple serta melawat kawasan penanaman teh dan kopi di Doi Chang. - UPM

WXEUMA~