| Universiti Putra Malaysia

Program Persijilan Pertanian Agrobank dedah senario semasa bidang pertanian

Oleh Faiz Hamzah

Foto oleh Hamdan Md Ali dan Noor Azreen Awang

 

​​

 

SERDANG, 8 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Agrobank menganjurkan program Persijilan Pertanian Agrobank-UPM (AU-ACP) 2018 bagi memberikan pendedahan kepada pegawai Agrobank mengenai senario semasa bidang pertanian.

 

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dato’ Dr. –Ing. Renuganth Varatharajoo berkata program itu dirumus khas untuk pegawai Agrobank yang tidak mempunyai latar belakang akademik dalam bidang pertanian.

 

“Kursus enam bulan di bawah program itu berupaya melengkapkan kompetensi pegawai bank untuk memahami serta mempertingkatkan ilmu bidang pertanian serta melahirkan sumber manusia yang berwibawa,” katanya.

 

Turut hadir Dekan Fakulti Pertanian, Prof Dr. Abdul Shukor Juraimi.

 

Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pula berkata program itu adalah simbol kolaborasi strategik antara UPM dan Agrobank bagi mendapat pengetahuan asas, serta ilmu terkini di dalam aktiviti pertanian dan perdagangan.

 

“Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen tinggi pengurusan Agrobank untuk meningkatkan keterampilan pegawai bank dalam memberi perkhidmatan harian dan kami telah menetapkan matlamat jangka pajang untuk melatih pegawai kami secara berperingkat,” katanya.

 

Melalui program itu, UPM berjaya melahirkan 30 graduan bermula Mac 2017 hingga September 2017 dan kini seramai 41 graduan.

 

Kursus siri pertama dibahagikan kepada dua bidang iaitu tanaman dan ternakan, dan kemudian ditambah baik dengan penambahan dua lagi bidang iaitu tanaman komoditi dan akuakultur pada siri kedua bagi memastikan peserta menguasai semua bidang pertanian.

 

Sementara itu, Graduan Terbaik Keseluruhan, Zubaidah Hamad, Agrobank cawangan Pahang berkata antara tip kejayaan beliau sepanjang kursus adalah sentiasa berdisiplin dalam setiap perkara yang dilakukan.

 

“Saya komited dalam setiap perkara yang saya lakukan dan berasa sangat tertarik dengan modul pembelajaran seperti modul ternakan kerana dapat mengetahui kaedah bagaimana proses ternakan dilakukan. Tenaga pengajar juga sangat baik dan komited mengajar.

 

“Cabaran yang dihadapi adalah dalam kesibukan bekerja saya harus pandai membahagikan masa untuk belajar dan menyiapkan tugasan supaya setiap tugasan dapat dihantar mengikut tempoh masa yang diberikan oleh pensyarah,” katanya.

 

Penerima Anugerah Graduan Terbaik (Sains Ternakan), Sudarveli a/p Krishnan, Agrobank

Cawangan Semenyih berkata beliau sangat teruja dengan majlis penyampaian sijil itu kerana ini adalah petanda aras kejayaan mereka diraikan

 

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan penganjuran program kerjasama Agrobank dan UPM ini dapat memberikan kami pendedahan kepada bidang pertanian,” katanya.

 

Penerima anugerah lain ialah Emy Ramie Iliaihanie Abd Rani iaitu Graduan Terbaik (Tanaman Makanan), Fazleyani Sarif Anugerah Graduan Terbaik (Tanaman Komoditi) dan Sharifah Zaharah Syed Redzwan Anugerah Graduan Terbaik (Akuakultur). - UPM

 

 

WXDdEAu~