| Universiti Putra Malaysia

Program mobiliti STAR dilaksana di New Zealand

Oleh: Athirah Nur Damia Aminudin

 

 

AUCKLAND – Seramai 12 pelajar Bacelor Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengikuti program mobiliti Science and Technology Application Research (STAR) di University of Auckland (UoA), New Zealand baru-baru ini.

Pegawai pengiring, Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli berkata persediaan dan pengisian program dirancang sendiri oleh kumpulan pelajar berkenaan yang diketuai oleh Mohamad Najib Ab Aziz.

“School of Chemical Sciences di UoA telah memberikan kerjasama baik dalam melaksanakan aktiviti akademia untuk peserta. Ini adalah kali pertama program mobiliti seumpama ini di adakan di New Zealand,” katanya.

Pengarah program, Mohamad Najib Ab Aziz berharap pelajar yang mengikuti program itu dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan mengembangkan daya pemikiran agar lebih kreatif dan inovatif.

“Program mobiliti STAR memberikan pengalaman pembelajaran kimia kepada peserta. Mereka diberi tunjuk ajar penyelidikan kimia hijau dan diberi peluang mengambil bahagian dalam makmal pengajaran,” katanya.

 

Presiden Kelab Mahasiswa Kimia, Fakulti Sains, UPM, Rudy Hakim berkata program itu berjaya mencapai objektif meningkat dan mengeratkan hubungan kerjasama antara UPM dan University of Auckland.

“Program mobiliti ini dapat menjadikan peserta berdaya saing dan menaikkan semangat pengantarabangsaan untuk maju dalam bidang sains dan teknologi,” katanya.

Antara pengisian ilmiah adalah menghadiri kelas Kimia Tak Organik yang disampaikan oleh Prof. Christian Hartinger dan pembentangan dapatan penyelidikan oleh Prof. James Wright. Pelajar pasca siswazah juga bertukar-tukar pendapat mengenai hasil kajian, lawatan ke makmal dan demonstrasi peralatan penyelidikan.

Pelajar turut berkesempatan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Brig Jen Khairy Jamaluddin pada majlis ramah mesra bersama pelajar Malaysia di Auckland. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand , Dato’ Lim Kim Eng. - UPM

 

WXDcSA2~