| Universiti Putra Malaysia

Program kemasyarakatan murid Orang Asli

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto: Marina Ismail

 

PULAU CAREY, 29 Jan – Kira-kira 100 murid tahun 1 hingga 6 dan 50 keluarga komuniti Orang Asli dari suku kaum Mah Meri menyertai program kemasyarakatan Kiddie Foodie & Waste Champ untuk murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun (A), di sini.

Program itu yang dimulakan pada penghujung 2019 bertujuan meningkatkan pemahaman berkaitan nutrisi makanan dan kitar semula di kalangan masyarakat Orang Asli.

Ketua program, Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri berkata murid-murid itu turut didedahkan dengan kaedah implimentasi dalam pembelajaran Sains dan Matematik, serta merangsang inovatif kanak-kanak dan komuniti dalam menggunakan bahan makanan dalam masakan.

“Harapan saya agar murid-murid Orang Asli mengambil peluang menimba pengalaman dan pengetahuan dalam program ini untuk kegunaan masa depan,” katanya.

Beliau berkata, program itu juga membawa kampus dekat kepada masyarakat dan untuk UPM terus berkhidmat serta menyumbang bakti kepada masyarakat.

Turut hadir pada program itu, Ahli Dewan Negara, Senator Masyarakat Orang Asli, Dato’ Isa Ab. Hamid dan Timbalan Naib Canslor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman.

Program itu dianjurkan bersama Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Ekologi Manusia UPM dengan kerjasama Nestle Products Sdn. Bhd., Restoran Ali Maju Sdn. Bhd. dan Elite Gears Enterprise. - UPM

 

SXEYQAg~