| Universiti Putra Malaysia

Program Jom Masuk Kampung semarak aktiviti sukarelawan

KUALA KEMAMAN – Seramai 103 pelajar Kelab Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) Chapter YOSH, Kumpulan Kursus Kokurikulum Berkredit Pembangunan Kesukarelawanan UPM dan Management Club Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai program Jom Masuk Kampung, di Kampung Geliga dan Kampung Geliga Pantai, di sini.

Program tiga hari bertemakan “journey with purposed” itu berteraskan konsep pembentukan sahsiah diri, dengan pelajar diberi pendedahan mempelajari budaya sesuatu tempat dan menyumbang bakti dalam aktiviti kesukarelawanan.

Pengarah program, Nur Anisah Mohd Tahir, berkata ia sebahagian proses bagi  menyerlahkan bakat kepemimpinan mahasiswa untuk lebih menonjol bersama masyarakat.

Ia dianjurkan Kelab Alumni UPM Chapter YOSH dengan kerjasama Pusat Alumni UPM, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Geliga dan Geliga Pantai, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Rumah Ngaji Terengganu (Yayasan Warisan Ummah Ikhlas), Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM, Management Club UKM, Masjid Geliga dan Texas Rangers 4x4.

Program itu juga bertujuan menjalin hubungan silaturrahim pelajar dengan masyarakat kampung apabila mereka ditempatkan bersama 23 buah keluarga angkat.

Program dimulakan dengan tiga slot utama iaitu Sembang Usahawan daripada Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan YPU, Tuan Engku Mohd Hairulnizam, manakala sebahagian mahasiswa menyiapkan tugasan rewang “ketuk-ketuk kuali” bersama orang kampung.

Pada masa yang sama, seramai 30 pelajar bersama jawatankuasa MPKK dan Texas Ranger berkunjung ke rumah-rumah asnaf terpilih menghantar barangan keperluan asas.

Peserta YOSH UPM, Nor Iman Ilyani berkata, penyertaan dalam program berkenaan memberi pengalaman baru kepadanya.

Slot ‘Kampung Race’ pula bertujuan mengenali budaya masyarakat di Kampung Geliga. Peserta didedahkan dengan cara membuat kuih tradisional ‘akok’, menjahit pukat di jeti, belajar loghat Terengganu di checkpointsocial experiment’ dan menggengtel keropok lekor.

Peserta juga dibawa ke Rimbun Dahan Turtle Hatchery pada jam 11.30 malam untuk aktiviti melepaskan 30 ekor anak- anak penyu ke laut.

Peserta Management Club UKM, Zarul Muhaimi berkata beliau tidak menyangka kunjungan kali pertama ke Kampung Geliga memberi peluang kepadanya melihat anak-anak penyu yang ditempatkan dalam kolam.

“Kenangan paling manis ialah apabila dapat memegang anak penyu berumur empat hari sebelum melepaskannya ke laut... anak penyu itu berenang laju melawan ombak,” katanya.

Slot Fajar Sejuta Pemuda seawal jam  4  pagi pula bertujuan membangkitkan jiwa pemuda untuk bangun membina kekuatan umat, melalui solat subuh berjemaah di masjid. Pihak #QuranHour melantik Chapter YOSH UPM sebagai sahabat Quran bagi pelaksanaan #QuraHour peringkat belia, dengan nama Youth #QuranHour.

Program turut disertai 120 orang pelajar tahfiz dari Ribat Al Asyraf Kampung Mak Lagam dan Tahfiz Darul Uloom Bukit Takal.

Pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu UPM, Muhammad Haikal Hafizi berkata slot Youth #QuranHour merupakan inisiatif yang baik dalam mengajak belia untuk dekat kepada Al-Quran.

Majlis turut dihadiri Pengerusi MPKK Kampung Geliga, Zaidi Lambak; Naib Pengerusi MPKK Kampung Geliga, Dzulkifli Mohd Nor dan Naib Pengerusi MPKK Kampung Geliga Pantai Mohd Zaini Ngah.  Pada majlis itu wang sumbangan khas RM500 dari tabung Kelab Alumni UPM Chapter YOSH disampaikan kepada keluarga Azhari Yusuf yang ditimpa musibah rumah runtuh.

Zaidi ketika berucap menutup Program Jom Masuk Kampung itu berkata, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa untuk membentuk jati diri dan mendalami ilmu kepemimpinan serta memperkasakan budaya rakyat melalui aktiviti kemasyarakatan.

Alumni pelajar sarjana sains ternakan UPM, Nurul Athira Mohd Affandi, pula berkata program itu bermanfaat untuk mahasiswa kerana mendidik diri untuk membantu masyarakat, memantapkan sahsiah dan membentuk mahasiswa berintegriti. - UPM

WXETTAM~