| Universiti Putra Malaysia

PROGRAM INSPIRASI STEM MELALUI AL-QUR'AN PERINGKAT KEBANGSAAN

SERDANG, 18 Ogos - 203 pelajar dari sekolah menengah seluruh Malaysia menyertai pertandingan E-Poster peringkat kebangsaan bertemakan Inspirasi Sains,Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui Al-Quran 2020 yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Persatuan STEM Johor.

Objektif utama pertandingan adalah untuk memupuk penghayatan konsep STEM melalui pembacaan dan terjemahan Al-Quran dan berkongsi idea STEM melalui e-poster yang dicungkil dari kandungan Al-Quran.

Majlis Perasmian Penutupan dan Pengumuman Pemenang pertandingan ini telah dirasmikan oleh Dr. Azhar Ahmad, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (BPPDP, KPM).

 

Majlis penutupan ini disiarkan secara langsung dalam talian dari Putra Future Classroom, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.

Program berlangsung dari 16 Jun sehingga 18 Ogos diketuai oleh Dr. Nurzatulshima Kamarudin, selaku Ketua Taskforce STEM, FPP, UPM menerima penyertaan pelajara sekolah yang menggalakkan walaupun negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ekoran daripada pandemik Covid 19.

10 pemenang diumumkan sebagai Mumtaz (cemerlang), 10 Jayyid Jiddan (baik), dan 80 peserta telah mendapat Jayyid (saguhati) dalam program ini. Selain itu, Anugerah Khas Penyertaan Sekolah Teraktif, Guru Pembimbing Cemerlang dan Poster Gemilang turut diumumkan oleh Dr Ihsan Ismail dari Pusat STEM Negara.

37 juri terlibat dalam penilaian e-poster yang terdiri daripada barisan pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM). Turut terlibat dalam penjurian adalah barisan juri daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pertubuhan Pusat Inspirasi Ummah, dan guru-guru cemerlang sekolah menengah terpilih. Pihak TF STEM FPP UPM akan memilih beberapa e-poster terbaik hasil pertandingan ini untuk dikompilasikan sebagai bahan bantu mengajar STEM. – UPM

WXEUEA~