| Universiti Putra Malaysia

Program Good Deeds For Entrepreneur’s Need

Oleh: Mohd Iqmal Haris

 

SERDANG, 17 Jan – Seramai 94 pelajar ijazah sarjana muda menyertai Program Good Deeds For Entrepreneur’s Need yang memfokuskan kepada perkongsian tip dan kemahiran bagi mengharungi cabaran sepanjang bergelar pelajar siswazah.

Ia disampaikan oleh ikon-ikon Majlis Anugerah Putra Ikon Universiti Putra Malaysia 2019. 

Pengarah program, Nur Alia Abdul Malek berkata program itu bertujuan membantu pelajar untuk lebih memahami dan mengetahui mengenai keusahawanan dan kesukarelawanan.

 

“Dengan menjemput Putra Ikon 2019 sebagai panel khas, kita berharap peserta dapat mendengar sendiri pengalaman prasiswazah yang masih belajar tetapi turut mengambil peluang berbisnes dan melakukan kerja-kerja sosial.

“Ini mampu memupuk minda pelajar untuk lebih terbuka bahawa menjadi pelajar universiti bukan sahaja perlu belajar mengikut kursus yang diambil tetapi juga mengasah kemahiran dan potensi,” katanya.

Slot utama bagi program itu menjadi platform interaktif antara pelajar dan penerima Anugerah Putra Ikon Kluster Keusahawanan, Ahmad Zaid Ismail dan penerima Anugerah Tokoh Siswa Kesukarelawan, Amalina Nadiah Azmi  yang juga pelajar di UPM. Mereka memberi tips keusahawanan serta teknik pemikiran yang boleh diaplikasikan oleh pelajar.

Ahmad Zaid berkata program itu membantu pelajar untuk lebih berdikari dalam semua aspek terutama ketika pandemik COVID-19. 

“Untuk membina kekuatan mental, pelajar perlu tahu tahap kemampuan dan penyokong yang ada di sekeliling mereka,” katanya.

Pelajar Bacelor Sains Kesihatan dan Perubatan, Madeline Kueh Shuen Hui berkata, program itu membolehkan beliau membuat persediaan apabila bergraduat kelak.

“Sebagai pelajar, kita perlu menjadi proaktif serta berkeyakinan tinggi untuk menghadapi cabaran terutama dalam mencari kerjaya. Skil komunikasi adalah penting untuk turut diterapkan,” katanya. - UPM

WXDdNAz~