Program GE Lahir Usahawan Siswazah Berimpak Tinggi | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Program GE lahir usahawan siswazah berimpak tinggi

Program GE lahir usahawan siswazah berimpak tinggi


SERDANG, 19 Jan 2012 – Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal melahirkan 16 usahawan siswazah berimpak tinggi menerusi Program Keusahawanan Siswazah (GE) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar berkata kesemua usahawan yang merupakan bekas pelajar UPM itu bakal mengkomersialkan 13 teknologi terbaik hasil penyelidikan UPM melalui 10 syarikat terbitan bersama penyelidik universiti itu.

“Mereka yang terpilih telah menjalani program induksi anjuran UPM pada tahun 2010 bagi memperkukuhkan kemahiran keusahawanan dalam bidang perniagaan,” katanya selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian pengkomersialan di bawah program GE di sini baru-baru ini.



Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Turut hadir ialah Ketua Eksekutif MTDC, Norhalim Yunus.

Menurut Prof Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh antara 13 teknologi terpilih itu ialah biobaja untuk pengeluaran tanaman lestari, pengimbas spektrum tinggi bagi buah-buahan segar dan perisian fonik untuk murid-murid yang mengalami masalah disleksia visual.

Katanya, pemilihan 13 teknologi itu dilaksanakan oleh MTDC berdasarkan kesediaan teknologi berkenaan untuk berada di pasaran dan nilainya.

Beliau menjelaskan, MTDC bertindak sebagai penaja program dan pembimbing pembangunan perniagaan manakala UPM pula menyediakan dan memindahkan teknologi yang telah sedia untuk dikomersialkan.

“MTDC telah menyalurkan pendahuluan sebanyak RM 100,000 bagi penubuhan 10 syarikat terbitan merangkumi kos penyediaan keperluan dan dokumentasi penubuhan syarikat.

“MTDC telah bersetuju menyediakan peruntukan pendahuluan sebanyak RM 150,000 kepada syarikat-syarikat ini untuk memulakan operasinya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata program GE mampu mengatasi masalah modal, mentor dan jaringan perniagaan yang dihadapi golongan siswazah yang berminat memulakan bidang keusahawanan.

“Perkara ini berlaku disebabkan banyak institusi kewangan dan bank masih belum proaktif membantu usahawan siswazah walaupun bidang yang ingin diceburi itu unik.

“Program GE dilihat boleh mengatasi masalah ini kerana MTDC akan menyediakan modal untuk syarikat yang ditubuhkan siswazah, menjadi mentor dan menyediakan jaringan perniagaan. Manakala kekuatan universiti pula ialah dalam bidang ilmu, penyelidikan dan menghasilkan idea,” katanya.

Beliau turut menyeru agar lebih ramai pihak swasta tampil menganjurkan program seumpama itu agar dapat membantu golongan mahasiswa menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Berita ini disediakan oleh Mohd Martin Kahar, 03-8946 6154 (MarComm) | Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan, 03-8946 6189 (MarComm)


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563576965