| Universiti Putra Malaysia

Program BATS pelajar UPM menangi dua anugerah pada Kongres Jauhar 2.0


Oleh: Azman Zakaria

SERDANG, 16 Mac -  Penanaman cili menggunakan kaedah fertigasi oleh sekumpulan 15 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membantu masyarakat kampung bukan sahaja memberi pulangan pendapatan untuk penduduk kampung terbabit, malah usaha pelajar berkenaan memenangi dua anugerah pada Kongres Duta Jauhar 2.0 baru-baru ini.

Mereka memenangi Anugerah Emas tempat ketiga kategori Keseluruhan Program Terbaik dan Anugerah Transformasi Pertanian Terbaik pada kongres itu yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor dari 24 hingga 27 Februari lalu.

Kongres itu disertai 22 kumpulan mewakili Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dengan setiap kumpulan membentangkan projek masing-masing.

Kumpulan pelajar UPM dari Persatuan Kebajikan Anak-anak Johor melalui kerjasama Fakulti Pertanian melaksanakan projek Benut  Agricultural Transformation Scheme (BATS) di  bawah program Duta Jauhar  dengan mengusahakan penanaman cili menggunakan konsep pertanian fertigasi.

Dengan kerjasama Pejabat Daerah Pontian, Johor, kumpulan pelajar ini mengenalpasti kawasan tanah terbiar seluas ¼ ekar di Kampung Parit Abdul Rahman, Benut, Pontian untuk diusahakan dengan penanaman cili hijau dan merah “Cili Kulai Varieti 461”.

Pelajar tahun 3, Bacelor Pertanian Akuakultur , Fakulti Pertanian, Mohammad Ezaifuddin Sanip, yang juga Timbalan Pengarah program BATS berkata, kumpulan pelajar itu bersama 12 orang penduduk kampung berkenaan menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan pada awal September 2015  selepas jambatan siap dibina untuk memudahkan jentera memasuki ke kawasan tapak semaian.

Mereka juga menyediakan lebih 600 polibeg untuk digunakan semasa projek fertigasi, selain paip dan tangki untuk tujuan pengairan dan pembajaan.

Melalui konsep fertigasi ini, coco peat atau habuk kelapa iaitu produk yang dihasilkan daripada sabut kelapa dimasukkan ke dalam polibeg sebagai ganti tanah untuk penanaman. Penyemaian di dalam polibeg dibuat secara berperingkat bermula dengan satu plot membabitkan 300 polibeg pada awal Oktober 2015.

Mohammad Ezaifuddin berkata, hasil mula dituai pada hujung awal Disember 2015 yang memberikan pendapatan kepada petani.

Menurutnya, satu plot kawasan membabitkan 300 polibeg boleh menjana pendapatan RM780 sebulan jika dijual pada harga RM6 sekilogram. Harga cili boleh meningkat kepada RM12 sekilogram yang akan memberikan pulangan lebih besar untuk penanam.

“Matlamat kita adalah supaya penduduk kampung boleh mengusahakan pertanian moden itu secara sendiri, kita mahu membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung.

“Kerjanya juga agak mudah, selepas pemasangan paip dan tangki untuk saliran dan baja, petani yang terbabit hanya perlu bekerja kira-kira 15 minit sehari memeriksa paip sekiranya tersumbat,” katanya.

 Beliau berkata projek BATS yang diusahakan di Kampung Parit Abdul Rahman itu  dipantau secara berkala oleh Fakulti Pertanian kerana mahu ia menjadi projek yang berterusan.

“Seronok dapat tolong orang kampung, mereka boleh berdikari daripada asalnya tidak mengetahui kaedah penanaman yang mudah seperti ini,” katanya.

Program Duta Jauhar 2.0 dicetuskan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan dianjurkan Yayasan Pelajaran Johor bertujuan meningkatkan ekonomi masyarakat Johor. - UPM


 


SXDcSA3~