| Universiti Putra Malaysia

Profesor Veterinar UPM diberi penghormatan oleh rakan sekerjaya seantero dunia

Oleh Kuah Guan Oo


Timbalan Naib Canselor UPM (Akademik dan Antarabangsa), Professor Datin Paduka Dr Aini Ideris


SERDANG, 15 Okt  (UPM) --  Seorang Profesor Perubatan Avian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diberi penghormatan oleh Persatuan Veterinar Poltri Sedunia (World Veterinary Poultry Association-WVPA) yang menghubungkan saintis poltri daripada seluruh dunia.

Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris dilantik oleh Badan Eksekutif WVPA menjadi anggota ulung Balai Penghormatan (Hall of Honour) persatuan itu.

WVPA telah wujud sejak 54 tahun yang lalu dan hanya 52 individu telah dipilih untuk anugerah unggul itu.

Prof Aini, Timbalan Naib Canselor UPM (Akademik dan Antarabangsa) telah secara rasminya menerima `Testamur’ pelantikan tersebut daripada  Presiden WVPA, Dr. Trevor J. Bagust, semasa sidang Kongres WVPA di Nantes, Perancis pada 22 Ogos 2013.

“Keahlian Balai Penghormatan  WVPA adalah untuk pakar veterinar poltri/saintis veterinar poltri  yang memberi sumbangan kepada WVPA dan pengurusan kesihatan penternakan poltri  sedunia yang diiktiraf oleh rakan-rakan sekerjaya mereka sebagai cemerlang,” kata Dr Bagust dalam suratnya kepada Prof Aini berhubung pelantikan beliau ke Balai Penghormatan itu pada Mac yang  lalu.



“Hakikatnya keahlian ke Balai Penghormatan WVPA ialah mercu penghormatan tertinggi kepada seseorang saintis veterinar pada masa lalu, masa kini dan pada masa depan. Mereka adalah seseorang yang telah memberi sumbangan besar untuk memajukan sains veterinar poltri di peringkat antarabangsa”, kata beliau.

 “WVPA Hall of Honour”  telah juga secara julung kali disediakan dalam format digital dan boleh diakses di laman web: www.wvpa.net atau http://www.positiveaction.info/.

Dalam kerjaya akademik beliau yang menjangkau hampir 35 tahun di UPM, minat penyelidikan Prof Aini adalah berkaitan dengan penyakit pernafasan avian dan penyakit yang menyebabkan sistem imun avian kurang berfungsi, kaitan dengan pengawalan penyakit poltri, pembangunan vaksin dan cara diagnostik penyakit poltri.

Hasil penyelidikan beliau telah berjaya mengkomersialkan vaksin penyakit Newcastle pada 1995 diikuti vaksin ‘Fowl Pox’ pada 1996.

Pada 2005, kumpulan penyelidik beliau (Prof. Aini sebagai penyelidik bersama) telah berjaya mengkomersialkan satu lagi vaksin ternakan poltri yang penting bagi mengawal penyakit bursal berjangkit. Semua vaksin tersebut kini dijual di beberapa negara.

Prof Aini dan kumpulan penyelidik beliau juga telah membangunkan cara diagnostik yang pantas bagi penyakit “Avian influenza”, penyakit Newcastle, penyakit bursal berjangkit dan Mikoplasmosis.

Mereka kini giat menjalankan penyelidikan dalam usaha mengeluarkan vaksin halal.

Lahir dan dibesarkan di Kelantan, Prof Aini lulus ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) dari UPM pada 1979 di mana beliau memulakan kerjayanya sebagai tutor di UPM.

Beliau meneruskan pengajian untuk mendapatkan ijazah Sarjana Sains Veterinar dalam Perubatan Avian dari University of Liverpool pada 1981 dan PhD dalam Perubatan Avian dari UPM pada 1989.

Beliau seterusnya mengikuti latihan khusus pasca-doktoral di University of California, Davis, Amerika Syarikat dari 1990 ke 1992 dan di University Cornell pada 1993 atas tajaan Asian Development Bank, di mana beliau terlibat dalam penyelidikan patogenesis molekular.

Beliau dilantik sebagai pensyarah di UPM pada 1981, Profesor Madya pada 1991 dan Profesor pada 1996. Pada masa kini, beliau adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), sejak 2008,  dan Pengerusi Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor/Rektor IPTA Malaysia (Akademik dan Antarabangsa).



Sebagai seorang saintis terkemuka yang telah menerbitkan lebih daripada 400 kertas kerja dalam jurnal dan prosiding, beliau telah dilantik sebagai Felo Islamic World Academy of Sciences (FIAS), Felo Academy of Sciences (FASc) Malaysia, Felo Pengasas Malaysian College of Veterinary Specialists (FMCVS) dan Felo Malaysian Scientific Association (FMSA).

Beliau juga terlibat secara aktif sebagai Ahli Majlis Malaysian College of Veterinary Specialists (MCVS), Ahli Majlis Academy of Sciences, Malaysia, dan Ahli Eksekutif National Cancer Council (MAKNA).

Di samping itu, Prof Aini adalah seorang ahli Lembaga Governan International Medical University (IMU), dan Putra Business School.



Dalam kerjaya penuh kegemilangan, Prof Aini telah menerima anugerah negara dan antarabangsa, seperti Anugerah Akademik Negara (AAN) 2010, iaitu satu anugerah yang berprestij bagi inovasi dan pengkomersialan vaksin penyakit Newcastle (ND V4-UPM).  Anugerah AAN adalah anugerah tertinggi bagi pencapaian ahli akademik Malaysia.

Beliau berkahwin dengan Dr Md Ishak Ismail dan mereka mempunyai lima anak (empat lelaki dan seorang perempuan). Semua anak lelaki (Nizam Hanis, Nizam Hafiz, Nizam Haris, Nizam Hakim) adalah jurutera dan sudah berkahwin, manakala anak perempuan bongsu, Nurliyana, kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana Kejuruteraan di University of Nottingham.

Mereka mempunyai empat cucu, tiga lelaki dan seorang perempuan. – UPM

- kgo/agn


SXDdFAX~