| Universiti Putra Malaysia

Profesor kimia UPM dipilih ahli kumpulan kerja pertubuhan kimia sedunia IUPAC

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Azreen Awang



SERDANG,   3 Okt (UPM) – Seorang profesor kimia Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mendapat pengiktirafan rakan-rakan beliau apabila dipilih untuk menjadi ahli satu bahagian International Union of Pure and Applied Chemistry (IUPAC), badan induk pertubuhan-pertubuhan kebangsaan kimia seluruh dunia.

Prof Taufiq Yap Yun Hin, 45, dipilih sebagai Ahli Titular Bahagian 1 Kimia Fizikal dan Biofizikal IUPAC berpangkalan di Zurich untuk sesi 2014-2015. Pemilihan itu turut melayakkan beliau untuk sesi berikutnya iaitu 2016-2017.

Seorang lagi rakyat Malaysia diberikan penghormatan itu adalah Datuk Dr Soon Ting Kueh, Presiden Institut Kimia Malaysia yang dipilih sebagai Ahli Titular bahagian    Penyelidikan Kimia untuk Keperluan Dunia (Chemistry Research Applied to World Needs  atau CHEMRAWN) untuk sesi 2012-2013. Dr Soon dipilih semula untuk satu lagi penggal 2014-2015 dalam CHEMRAWN,  satu daripada lapan bahagian IUPAC.

Prof Taufiq Yap yang berasal dari Kota Kinabalu, berkata pemilihan beliau itu adalah sesuatu yang memeranjatkan. Namun beliau gembira kerana ia adalah satu penghormatan kepada UPM, IKM dan negara.

“Saya menerima undangan ke mesyuarat pertama bahagian itu di Zurich pada satu tarikh yang akan ditetapkan pada bulan Mei hingga Julai depan,” kata beliau sambil menambah bahawa beliau diberitahu mengenai pemiIihan itu oleh presiden bahagian berkenaan, Prof Kaoru Yamanouchi, yang juga seorang profesor kimia di Universiti Tokyo.



Pemberitahuan untuk mesyuarat itu datangnya dari Prof Roberto Marquardt, naib presiden bahagian berkenaan dari Universiti Strasbourg, Perancis, yang turut mengetuai projek “Buku Hijau” bahagian terbabit.

Prof Taufiq Yap berkata beliau sedar bahawa pemilihan ke jawatan IUPAC itu adalah satu tanggungjawab besar dan beliau akan berusaha sedaya upaya demi nama baik  UPM, IKM dan negara.

Prof Taufiq Yap berkahwin dengan Dr Amalina Abdullah, seorang pensyarah kanan Perakaunan dan Kewangan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM dan mereka mempunyai empat anak, seorang perempuan dan tiga lelaki.

 

Beliau belajar hingga ke peringkat STPM di SMJK All Saints Likas di Kota Kinabalu sebelum meneruskan pelajaran di UPM, lulus ijazah Bacelor Sains Kimia (Kelas Dua Atas)  pada 1992 dan ijazah Sarjana Sains dalam Produk Asli Kimia pada 1994.

Beliau kemudian mengikuti pengajian PhD dalam bidang Heterogeneous Catalysis di Institut Sains dan Teknologi Universiti of Manchester (UMIST) UK dari 1994 ke 1997.

Prof Taufiq Yap kembali ke UPM untuk menjadi pensyarah di Jabatan Kimia pada 1997 dan kemudian dilantik professor dan ketua Pusat Penyelidikan Sains Katalisis dan Teknologi  Putra (PutraCAT) yang ditubuhkan pada 2008 untuk meraikan ulangtahun ke-11 penyelidikan katalisis heterogeneous di UPM.



Kepakaran beliau meliputi bidang katalisis heterogeneous, pengoksidan terpilih, bahan terkemajuan, tenaga diperbaharui, penghasilan biodiesel, pengubahan biomas, pengeluaran hidrogen dan bahan asli kimia.

Beliau turut memantau kerjasama PutraCAT dengan badan kepakaran terkemuka dunia dan juga perkongsian dengan institut utama dunia.

Beliau juga memastikan PutraCAT menyediakan penyelidik dengan satu persekitaran saintifik unik yang menghasilkan penyelidikan cemerlang, kolaborasi dan melatih penyelidiik muda. Pada masa ini, PutraCAT mempunyai 64 ahli, termasuk enam penyelidik utama dan seorang pegawai penyelidik.

Dalam kerjaya beliau setakat ini, Prof Taufiq Yap adalah seorang Ahli Kimia Bertauliah dan Profesional (CChem., MRSC) Royal Society of Chemistry, UK. sejak 1997. Pada  September 2008, beliau dilantik sebagai Felo (FRSC) The Royal Society of Chemistry, UK. Beliau juga dilantik Felo (FMIC) Institut Kimia Malaysia (sejak 2009).

Beliau kini adalah ahli majlis Asia Pacific Association of Catalysis Societies (APACS), Ahli Bersekutu Institution of Chemicals Engineers (AMIChemE), UK dan ahli Malaysian Natural Products Society dan Malaysian Society for Engineering and Technology (mSET).

 Beliau juga memilik hak terhadap beberapa paten termasuk satu dengan Pejabat Paten Amerika Syarikat. – UPM

- /kgo/agn


SXDdQA~