| Universiti Putra Malaysia

Prof Emeritus, juga ikon UPM, derma lebih banyak buku kepada universiti

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 5 April (UPM) – Pada usia amat matang, 78 tahun, Profesor Emeritus Dr Chin Hoong Fong sepatutnya menghabiskan masa di sekitar rumahnya di tengah-tengah kemesraan keluarganya, tetapi beliau memilih untuk terus bekerja dan menulis lebih banyak buku.

Dan ikon Universiti Putra Malaysia (UPM) ini yang dikatakan telah mengajar dan melatih tujuh ‘generasi’ graduan UPM memilih untuk mendermakan buku terbaharu beliau kepada alma maternya dalam satu majlis ringkas di sini hari ini pada 19 Mac 2013.

Buku terbaharu beliau bertajuk “Conservation of Tropical Plant Species” diterbitkan oleh Springer N.Y pada lewat 2012 dikarang bersama dengan Prof M.N. Normah dan Barbara M. Reed.

Dengan sumbangan terbaharu ini, Prof Chin telah mendermakan kepada perpustakaan UPM sejumlah 1,300 naskah buku termasuk 13 buah ditulis atau disunting bersama oleh beliau, membuat Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata bahawa beliau setuju dengan cadangan untuk menyifatkan Prof Chin sebagai ikon penderma buku UPM.

Sambil menarik perhatian bahawa Prof Chin telah mendermakan koleksi buku peribadi beliau kepada UPM pada 1963 dan 2010, beliau berkata buku-buku didermakan itu amat berharga kepada universiti.

“Kepada Prof Chin, bagi pihak Universiti, dari lubuk hati saya, saya ingin berterima kasih di atas usaha dan sumbangan mulia kepada universiti dan manusia sejagat keseluruhannya itu,” kata beliau ketika merasmikan majlis sumbangan buku itu di perpustakaan UPM.

Awal daripada itu dalam kata-kata aluannya, Pustakawan UPM Amir Hassan Md Ishak berkata bukanlah sesuatu yang keterlaluan jika beliau menyifatkan Prof Chin sebagai ikon penyumbang buku di UPM yang seharusnya dicontohi.



Beliau juga memberitahu majlis itu bahawa pengarang bersama Prof Chin, Prof M. N. Normah sebenarnya Pengarah Institut Sistem Biologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga ahli alumni UPM. Beliau juga adalah bekas pelajar Ph.D Prof Chin.

Prof Chin yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1935 memulakan persekolahan ketika berusia agak lewat iaitu 11 tahun di Sekolah Methodist Boys ketika, selepas Perang Dunia II.

Beliau meninggalkan KL pada 1955 untuk menamatkan matrikulasi belau di University High School di Melbourne sebelum lulus dengan ijazah Bacelor Sains Pertanian daripada Universiti Melbourne pada 1960.

Pada 1961, beliau mula bekerja sebagai seorang pensyarah di UPM, kerja yang beliau tidak pernah mohon, namun beliau menerimanya tanpa keberatan dan sejak itu tidak lagi menoleh ke belakang dan meneruskan kerjaya beliau itu. Atas daya usaha sendiri beliau belajar untuk mendapatkan ijazah Sarjana dalam Sains Pertanian secara luaran dan lulus pada 1971 dari universiti Australia yang sama.

Beliau kemudian dihantar ke Melbourne untuk mengambil Ph.D di bawah biasiswa UPM dan kembali pada 1973 dengan Ph.D. Pada 1994 beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Sains Pertanian. Jelas agak unik juga beliau memperolehi semua empat ijazah dalam Sains Pertanian daripada universiti sama iaitu Universiti Melbourne.

Prof Chin dilantik sebagai Profesor Madya pada 1975, Profesor pada 1981 sebelum dianugerahkan Profesor Emeritus oleh UPM pada 1996.

Dalam ucapannya, Prof Chin memberitahu majlis itu bahawa tidak seperti golongan sezaman dengannya yang mengejar kerjaya lebih glamor iaitu undang-undang, perubatan dan sepertinya, beliau memilih pertanian kerana keghairahan beliau terhadap bidang yang beliau amat sukai itu.

Kesemuanya, beliau mengajar dan melatih lebih 10,000 graduan dalam bidang pertanian dalam masa lebih 53 tahun kerjaya mengajar di UPM iaitu satu-satunya tempat beliau bekerja sepanjang hidupnya. UPM.

UPM/smz/kgo/kam/del


SXDdGA3~