| Universiti Putra Malaysia

Prof. Dr. Taufiq terima Anugerah Khas Ma’al Hijrah (Pendakwah)

Oleh: Azman Zakaria

 

SERDANG, 21 Sept - Pensyarah di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin menerima Anugerah Khas Ma’al Hijrah (Pendakwah) 1440H/2018M peringkat Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

 

Beliau menerima anugerah itu yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Mujahid Yusof di Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 20 September lalu.

 

Prof. Dr. Taufiq, 50, menerima sijil, plak dan wang tunai RM3,000.

 

Beliau sebelum ini pernah menerima anugerah Mualidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2017, dan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor (kategori Saudara Kita) pada 2012.

 

Katanya, beliau terharu dan bersyukur kepada Allah dengan anugerah yang diterimanya itu.

“InsyaAllah, saya akan terus secara istiqamah berkongsi keindahan Islam kepada seluruh manusia,” katanya.

 

Pada masa yang sama, katanya, semua umat Islam mesti menjaga dan memelihara akhlak sesuai dengan ajaran Islam.

 

Prof. Dr. Taufiq, adalah juga Ketua, Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Katalisis, UPM, dan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

 

Antara anugerah dan pencapaiannya ialah Anugerah Saintis Muda Negara (2007), The Outstanding Young Malaysian Award (2008), dan Top Malaysian Scientist 2004. - UPM

 

SXEZBA3~