| Universiti Putra Malaysia

Prof. Dr. Mohamed Othman terima pengiktirafan Profesor Kehormat Universiti Kazakhstan

SERDANG - Pensyarah Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamed Othman menerima pengiktirafan Profesor Kehormat dari South Kazakhstan Pedagogical University, Shymkent, Kazakhstan sempena Hari Terbuka dan ulang tahun ke-25, universiti itu pada 30 Mac lalu.

Beliau dianugerahkan sijil pengiktirafan itu bersama seorang professor dari Universiti Barcelona, Sepanyol.

Seorang Profesor dari Rusia mengucapkan tahniah dengan berkata, “dari Barat…University Barcelona, Sepanyol melalui Asia Barat ke Timur…Universiti Putra Malaysia, Malaysia; tahniah kepada anda berdua atas kejayaan.”

Sijil pengiktirafan disampaikan oleh Presiden South Kazakhstan Pedagogical University, Prof. Dr. Yunusov Madiyar Bahtiyarovich, pada majlis yang diadakan di universiti berkenaan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Gabenor Wilayah Shymkent, Sadybekov Ulasbek dan Rektor Universiti, Prof Dr Zharkinbebov Murat Asanovich serta kira-kira 200 tetamu jemputan termasuk dari pelbagai negara, kakitangan akademik Universiti dan pelajar.

Sebelum itu, Prof. Dr. Mohamed Othman dijemput untuk menyampaikan seminar dan mengadakan bengkel kepada kakitangan akademik dan pelajar siswazah di Universiti tersebut. Selain itu, beliau telah memberikan seminar and bengkel di L. N. Gumilyov Eurasian National University dan South Kazakhstan State University, Kazakhstan.

Katanya, seramai 10 orang profesor menyampaikan seminar dan mengadakan bengkel, dan beliau sangat berterima kasih kerana terpilih menerima sijil pengiktirafan Profesor Kehormat itu.

“Saya bersyukur dan rasa amat terharu menerima pengiktirafan tersebut. Ia juga merupakan pengiktirafan universiti luar terhadap penyelidikan yang saya laksanakan dan secara tidak langsung pengiktirafan kepada UPM. Ini akan menjadi pendorong kepada saya untuk terus berusaha menaikkan lagi nama UPM di peringkat antarabangsa,” katanya. - UPM

SXEQUA~