| Universiti Putra Malaysia

Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin dilantik TNC (JIM)

Oleh: Azman Zakaria

Foto oleh: Marina Ismail

 

SERDANG, 30 Nov:  Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk tempoh selama tiga tahun berkuatkuasa 1 Disember 2020 hingga 30 November 2023.

Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin, 43, menggantikan  Prof. Dr.-Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo, yang tamat tempoh pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) pada 31 Ogos 2019.

Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin adalah dari Jabatan Kejuruteraaan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan.

Beliau berkelulusan PhD dari University of Liverpool UK dalam bidang pengkhususan Kejuruteraan Pembuatan dan Pengurusan Perindustrian; B. Eng (Hons) Mechanical Engineering dari UMIST (University of Manchester, Institute of Science and Technology; dan Dip. Eng Mechanical and Manufacturing Engineering, dari Wigan and Leigh College.

Beliau adalah tutor di Jabatan Kejuruteraaan Mekanikal dan Pembuatan dari Ogos 2001 hingga September 2008, dan sebagai Pensyarah Kanan di jabatan sama dari 16 September 2008 hingga September 2013.

Beliau dilantik sebagai Profesor Madya pada 1 Oktober 2013.

Anak kelahiran Perak ini pernah menjadi Pengetua Kolej Kediaman Kolej 15 dari 1 Mac 2016 hingga 31 Januari 2018, dan adalah Pengetua Kolej Kediaman Kolej 10 dan 11 dari 1 Februari 2018 hingga 31 Disember 2020.

Beliau juga adalah Ahli Lembaga JOMWaqf.com dari Mac 2017 hingga September 2020; Pengerusi dan Wakil (Chair and Representative) Co-opbank Pertama (CBP) mewakili cawangan Putrajaya dari Januari 2018 hingga kini; Bendahari American Society of Mechanical Engineers (cawangan Malaysia) dari Januari 2016 hingga kini; dan Setiausaha Persatuan Alumni University of Liverpool Malaysia dari Jun 2020 hingga kini.

Portfolio yang akan dipegang oleh beliau sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) adalah mengetuai dan bertanggungjawab dalam keseluruhan pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) serta menguruskan jaringan UPM dengan industri dan masyarakat dalam usaha memantapkan kualiti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pengembangan maklumat kepada masyarakat amnya. – UPM

WXEZSA1~