| Universiti Putra Malaysia

Prof. Dato’ Dr Mohd Fauzi penerima anugerah Tokoh Sukan MASISWA

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan


SERDANG, 12 Ogos: Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan dipilh sebagai penerima anugerah Tokoh Sukan MASISWA 2014, individu kedua yang menerima anugerah berkenaan sejak ia diperkenalkan pada 2011.

Beliau menerima plak dan sijil yang disampaikan oleh Pengerusi Biro Projek Khas MASISWA, Michael Yiew yang juga Ketua Pusat Sukan Nilai University.

Setiausaha agung MASISWA, Ruzli Zairazi berkata, pemilihan Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi  untuk anugerah Tokoh Sukan MASISWA (Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Malaysia) itu adalah kerana sumbangan beliau terhadap pembangunan dan kemajuan sukan di IPTS terutama ketika bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi dari 2006 hingga 2012.

Katanya, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi juga adalah pelopor kepada pembentukan MASISWA yang mahukan pembangunan sukan di IPTS dibuat secara lebih tersusun dan atlet terus dapat bergiat aktif dalam sukan meskipun ketika di institusi pengajian tinggi.

Menurut Ruzli yang juga Pegawai Unit Sukan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), nama MASISWA juga dipilih oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr Mohd Fauzi melahirkan kesyukuran kerana dipilih sebagai penerima anugerah itu sambil berkata, MASISWA yang diwujudkan pada 2010 kini menjadi komponen penting pembanguan sukan di IPTS.

“MASISWA sehingga kini sudah berjaya melahirkan ramai atlet yang mewakili negara.

“Institusi pengajian tinggi juga adalah tempat untuk meningkat dan memajukan sukan… ia bukan tempat berkuburnya sukan atau tempat yang mematikan karier sukan para atlet,” katanya.

Institusi pengajian tinggi sebenarnya memberi penekanan ke arah melahirkan ‘atlet yang boleh berfikir’ (thinking athlete), kata beliau.

“Saya berharap lebih banyak aktiviti dapat dilatur oleh MASISWA untuk terus memperkembangkan bakat sukan atlet di institusi pengajian tinggi dan melahirkan atlet mewakili negara,” katanya. - UPM


WXEUQAX~