| Universiti Putra Malaysia

Prof Dato’ Dr Mohamed Shariff, rakyat Malaysia pertama dipilih anggotai OIE

Oleh Azman Zakaria      
Foto oleh Noor Azreen Awang


Prof Dato’ Dr Mohamed Shariff (duduk) bersama Prof. Dr. Mohd Hair


SERDANG, 22 Jun – Profesor dalam bidang Pathologi Ikan, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dato’ Dr Mohamed Shariff Mohamed Din dipilih menganggotai Suruhanjaya Standard Kesihatan Haiwan Akuatik, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE), rakyat pertama dari negara ini menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Beliau dipilih pada Persidangan Agung Tahunan OIE pada 24-29 Mei lalu di Paris, Perancis.

Prof Dato’ Dr Mohamed Shariff, 66,  akan menganggotai Suruhanjaya Pakar itu untuk tempoh selama tiga tahun bersama-sama lima lagi wakil, setiap satu dari Australia, Kanada, Chile, United Kingdom dan Zimbabwe.

OIE yang ditubuhkan pada tahun 1924 adalah pertubuhan antara kerajaan dianggotai 180 negara yang beribu pejabat di Paris. Ia bertanggungjawab terhadap peningkatan kesihatan haiwan sejagat dan diiktiraf sebagai suatu organisasi rujukan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).



Prof. Dato’ Dr Shariff melahirkan rasa syukur kerana terpilih memandangkan saingan dalam undian untuk mengganggotai suruhanjaya itu adalah sangat sengit.

Beliau berazam melaksanakan tanggungjawab baharu itu sebaik mungkin, kerana ia boleh menjadi contoh kepada warga negara Malaysia lain untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa.

“Sebagai wakil negara and rantau ini, saya membawa nama negara. Saya akan memberi segala bantuan dan sumbangan kepada mana-mana negara yang memerlukan khidmat saya berhubung penyakit haiwan akuatik.

“Ini satu pengiktirafan di peringkat global... satu sejarah untuk negara kita sebab kali pertama rakyat Malaysia dipilih untuk menganggotai suruhanjaya ini,” katanya.

Pengalaman luas beliau dalam bidang kesihatan haiwan akuatik diiktiraf oleh beberapa agensi antarabangsa lain seperti Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pusat Penyelidikan Perkembangan Antarabangsa Kanada (IDRC), Pusat Rangkaian Akuakultur di Asia-Pasifik (NACA), Bahagian Kesihatan Ikan Persatuan Perikanan Asia, dan Pusat Penyelidikan Pertanian Antarabangsa Australia (ACIAR).

Beliau adalah bekas Presiden Persatuan Perikanan Asia, dan pengasas serta bekas Presiden Persatuan Perikanan Malaysia yang diwujudkan pada 1987.

Sementara itu Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof Dr Mohd Hair Bejo menyifatkan pemilihan Prof Dato’ Dr Shariff ini satu lagi kejayaan untuk negara.

“Kini kita mempunyai wakil dalam OIE yang boleh memberi pandangan dalam implementasi hala tuju dasar kesihatan haiwan dunia. Dengan pelantikan ini masyarakat antarabangsa akan lebih mengetahui mengenai kepakaran yang ada pada rakyat Malaysia,” katanya.

Fakulti ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Pengarah Jabatan Perhidmatan Veterinar Malaysia, Dato’ Dr Muhamad Azmie Zakaria, dan Pemangku Pengarah Dr Kamarudin Md Isa atas sokongan mereka.  - UPM


WXDcSA~