| Universiti Putra Malaysia

PROF. DATIN PADUKA DR. AINI IDERIS MENERIMA ANUGERAH 100 TAHUN PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA NEGERI SELANGOR

 

Ishak Mohd Joned memakaikan Pingat  100 Tahun Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor kepada Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris

SERDANG, 6 Mei – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, dianugerahkan Pingat 100 Tahun Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor daripada Majlis Persekutuan Pengakap Negeri Selangor.

Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Pengakap Daerah UPM menerima anugerah itu daripada Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor, Ishak Mohd Joned kerana usaha dan aktiviti Kumpulan Latihan Kelanasiswa Daerah UPM memartabatkan pengakap ke seluruh negara dan antarabangsa.

Prof. Aini juga merasmikan Bilik Sekretariat Kumpulan Latihan Kelanasiswa UPM di Kolej Kelima dengan dihadiri oleh 150 peserta dari Universiti Malaya (UM), Politeknik Shah Alam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Politeknik Port Dickson dan Kelana Hulu Langat.

Beliau berharap sokongan untuk aktiviti pelajar itu tidak disia-siakan oleh mereka dalam menyokong hasrat universiti melahirkan graduan yang berilmu dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap semua pihak terus memberi sokongan kepada universiti dalam menerapkan elemen kesukarelawanan kepada pelajar UPM yang merupakan pelapis dan harapan negara pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pengakap Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia Daerah UPM, Prof. Madya Dr. Paramasivam Muthusamy merangkap mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengetua Kolej Kelima Prof. Dr. Sidek Abdul Aziz kerana sudi memberi sebuah Bilik Sekretariat kepada KLKM UPM.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM berharap semoga lebih banyak pihak seperti Kolej Kelima tampil memberi kerjasama kepada KLKM UPM pada masa akan datang.

SXDcSAh~