| Universiti Putra Malaysia

Prof. Shatar seru tingkat perkhidmatan berkualiti kepada pelajar UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 18 Jun (UPM) – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran menyeru barisan stafnya meningkatkan perkhidmatan berkualiti kepada pelajar yang merupakan pemegang taruh utama universiti.

“Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan entitinya perlu berterusan mengadakan proses ‘engagement’ bersama pelajar dalam menjayakan misi mencemerlangkan akademik dan sahsiah mereka.

“HEPA turut bertindak sebagai keluarga dan rakan pelajar bagi merealisasikan matlamat serta berwaspada dengan anasir luar yang sering cuba mengambil kesempatan dan mempergunakan pelajar,” katanya dalam ucapan dasar beliau di Dewan Harmoni, Kolej Kelima UPM.

Prof. Dr. Mohammad Shatar, 46, yang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) selama tiga tahun mulai 15 Mac lalu memperbaharui jumlah minimum merit pelajar untuk tinggal di kolej kediaman iaitu sebanyak 80 peratus merit gabungan setiap peringkat.



“Bagi aktiviti peringkat kolej, wajaran merit sebanyak 60 peratus, aktiviti universiti dan persatuan/kelab kedua-duanya sebanyak 15 peratus dan aktiviti fakulti sebanyak 10 peratus. Saya berharap Bahagian HEPA dan setiap entiti akan menjuarai pembangunan pelajar serta mengutamakan integriti dalam ‘kemenjadian manusia’ pelajar UPM,” katanya.

Selain itu, beliau turut mewujudkan sistem star rating untuk menilai prestasi serta melaksanakan amalan persekitaran berkualiti di semua entiti HEPA.

Beliau menegaskan pihak kolej kediaman perlu mengutamakan pencapaian prestasi akademik pelajar iaitu CGPA 3.0 serta penguasaan Bahasa Inggeris pelajar harus dimantapkan serta mengadakan aktiviti berimpak tinggi.

“Ini adalah untuk membina akademik, sahsiah dan pengalaman pelajar bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan UPM apabila bergraduat kelak,” katanya.

Beliau turut menggalakkan untuk menyediakan lebih banyak platform untuk pelajar berinteraksi dengan pengurusan seperti sesi dialog, meja bulat dan sesi bersantai bersama TNC (HEPA) serta memberi sokongan berterusan kepada semua aktiviti dan program pelajar berimpak tinggi.

Prof. Dr. Mohamad Shatar sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar pada 2006.

Beliau mempunyai kelulusan American Associate Degree, Indiana University of Bloomington, Bacelor dan Master of Science in Community and Regional Planning dari Iowa State University, Ames, Iowa serta Ph.D dari University of Missouri, Colombia. -- UPM

nej/kgo/kamn


SXEYMAa~