| Universiti Putra Malaysia

Prof. Dr. Mohd. Azmi Mohd Lila dilantik TNC (Penyelidikan dan Inovasi) UPM

Oleh Noor Eszereen Juferi


SERDANG – Prof. Dr. Mohd. Azmi Mohd Lila dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM) selama tiga tahun mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2016.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan ketika mengumumkan perlantikan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin berkata perlantikan baharu itu ialah bagi menggantikan Prof. Dato’ Dr. Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar yang tamat tempoh pelantikannya pada 31 Disember 2013.

“Sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), beliau bertanggungjawab dalam pembangunan penyelidikan melalui pembudayaan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan hasil penyelidikan (R&D&C) di UPM,” katanya

Tambah beliau, pihak pengurusan UPM menyifatkan perlantikan Prof. Dr. Mohd. Azmi akan dapat memperkembangkan dan memantapkan lagi aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan hasil penyelidikan, dan seterunsya memastikan UPM terus kekal sebagai Universiti Penyelidikan terkemuka.

Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Salleh di atas sumbangan beliau sepanjang perkhidmatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UPM di sini.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd. Azmi, 49, memulakan karier di UPM sejak lebih daripada 23 tahun lalu sebagai tutor pada tahun 1990, pensyarah pada 1994 diikuti Prof. Madya pada 2001 dan kemudiannya Profesor pada 2003.

Beliau pernah menjadi Pengarah Institut Biosains (2004-2006), Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan Universiti (2001-2003). Selain itu, beliau juga merupakan pengasas dua laboratori penyelidikan universiti yang berkaitan dengan penyelidikan penghasilan vaksin dan juga penyelidikan kanser.  

Prof. Dr. Mohd. Azmi memperoleh PhD dari Universiti of Cambridge, United Kingdom pada 1994, Master of Business Administration (MBA) dari UPM pada 2001, Master of Law (LLM in Business Law) dari Universiti Islam Antarabangsa, 2007 dan Doktor Perubatan Veterinar, 1988.

Sepanjang perkhidmatan di UPM, beliau sememangnya aktif dalam bidang penyelidikan terutamanya dalam bidang penyelidikan virus, biologi molekul dan pembangunan vaksin. Kesarjanaan dan kepakaran beliau diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Antaranya beliau pernah menerima pelbagai anugerah akademik, dilantik sebagai perunding dan penasihat kepada pelbagai organisasi tempatan dan luar negera, dan juga pernah menjadi ahli lembaga pengarah beberapa organisasi atau syarikat berteknologi tinggi, termasuk syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau pernah berkhidmat di sektor koporat sebagai Pengarah Pelaburan (2006-2008), Ketua Pegawai Eksekutif kepada sebuah syarikat GLC (2009-2010) dan juga CEO kepada sebuah anak syarikat UPM Holdings (2011-2012).  Beliau juga amat berpengalaman dalam bidang pelaburan modal teroka dan ekuti, pengkomersilan teknologi/harta intelek dan program pembangunan keusahawanan samada di dalam mahupun di luar UPM.


SXEURA3~