| Universiti Putra Malaysia

PROF. DATIN PADUKA DR. AINI IDERIS DILANTIK NAIB CANSELOR UPM


Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

PUTRAJAYA - Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris dilantik sebagai Naib Canselor baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk tempoh selama dua tahun mulai 1 Januari, 2016 hingga 31 Disember, 2017.

Beliau yang merupakan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM menggantikan Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Hj. Ramlan yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Naib Canselor UPM pada 31 Disember tahun lalu selepas mendapat surat pelantikan secara rasmi daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Hj. Ramlan kerana kepimpinan dan bakti yang dicurahkan beliau sebagai Naib Canselor UPM dengan berjaya mengekalkan kecemerlangan UPM sebagai sebuah universiti yang ulung di peringkat negara dan antarabangsa. 

“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Seri Idris Jusoh yang memberi kepercayaan, peluang dan amanah kepada saya untuk meneruskan legasi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada universiti.

“Semoga dengan pelantikan ini, saya berusaha meningkatkan pencapaian UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan unggul yang mengharumkan nama negara dan peringkat global selain mencipta kecemerlangan ilmu mendepani cabaran terutamanya melonjakkan lagi kualiti sektor pertanian negara khususnya,” katanya.

Sebagai mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM dari Disember 2008 hingga November 2013, beliau berjaya menerajui persediaan untuk SWA Akreditasi, universiti berautonomi dan pelbagai penambahbaikan berkaitan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran di UPM.

Beliau berpengalaman luas dalam hal ehwal nasional dan kementerian seperti menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor/Rektor (Akademik dan Antarabangsa) IPTA pada Januari 2012 hingga 2013, pengerusi/ahli dalam pelbagai jawatankuasa di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia / Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris merupakan saintis terkemuka dalam penyelidikan mengesan dan mengawal penyakit avian iaitu pengkomersilan vaksin penyakit ‘Newcastle’ pada 1995 dan vaksin kultur tisu ‘fowl pox’ pada 1996 hingga menembusi pasaran di sembilan buah negara.

Pada tahun 2005, beliau turut terlibat sebagai penyelidik bersama dalam mengkomersilkan satu lagi vaksin penting bagi ayam, iaitu vaksin penyakit bursa berjangkit.  Pasukan penyelidik beliau juga telah membangunkan beberapa kit diagnosis pantas untuk mengesan penyakit avian influenza (selsema burung - yang merupakan satu penyakit zoonotik), penyakit ‘Newcastle’, penyakit bursa berjangkit dan penyakit ‘Mycoplasmosis’.

Pada tahun 2011, Prof. Aini telah menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) 2010, kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk hasil kejayaan beliau dalam inovasi dan pengkomersilan vaksin penyakit ‘Newcastle’.

Beliau juga telah dipilih sebagai salah seorang daripada 10 penyelidik untuk Anugerah Inovasi Negara 2012, Anugerah Alumni Terbilang UPM 2012 dan diumumkan antara Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia 2013.

Kemuncak kejayaannya pada tahun 2013, beliau diserap menjadi ahli ulung Dewan Penghormatan (Inaugural Member Hall of Honour), World Veterinary Poultry Association iaitu pencapaian paling berprestij dalam penyelidikan saintifik, latihan dan pendidikan kesihatan avian dan kepemimpinan komuniti negara membangun sedunia.



Info lanjut latar belakang pendidikan dan kerjaya

Beliau dilahirkan pada 23 Mac, 1953 di Kota Bharu, Kelantan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Langgar dan Sekolah Kebangsaan Kota seterusnya pendidikan menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Setelah memperolehi ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) dari Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia – UPM), beliau dilantik sebagai Tutor di UPM pada tahun 1979.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah di University of Liverpool, England dan dianugerahkan Master Sains Veterinar (MVSc) dalam bidang Perubatan Avian (1981). Pada tahun 1989, beliau dikurniakan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari UPM dalam bidang yang sama. Beliau seterusnya menjalani latihan Pasca Kedoktoran di University of California, Davis, USA (1990-1992) dan pada tahun 1993, beliau dikurniakan Asian Development Bank Fellowship bagi menjalankan latihan seterusnya di University of Cornell, USA.

Minat Prof.  Aini ialah dalam penyelidikan penyakit pernafasan dan penyakit imunosupresif avian. Beliau merupakan seorang saintis terkemuka dalam penyelidikan berkaitan pengesanan dan pengawalan penyakit avian. Hasil dapatan penyelidikan awal beliau telah membawa kepada pengkomersilan vaksin penyakit Newcastle (NDV4-UPM) (1995) dan vaksin kultur tisu fowl pox (1996).

Vaksin-vaksin ini adalah antara produk pertama yang dikomersilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dan juga antara contoh pertama pemindahan teknologi dari universiti ke industri. Vaksin ini telah menembusi pasaran di sembilan buah negara dan dalam proses pendaftaran di beberapa negara lagi.

Pasukannya turut sedang membangunkan vaksin halal dengan menggunakan beberapa pembawa yang berbeza di dalam bioreaktor serta pembangunan vaksin generasi baru. Prof. Aini mengetuai program penyelidikan perubatan avian dan sekarang adalah Penyelaras Pusat Kecemerlangan Kebangsaan Industri Burung Walit, yang bertanggungjawab menentukan halatuju penyelidikan berkaitan burung walit.

Beliau juga aktif dalam penerbitan dan telah menerbitkan lebih 400 artikel, dalam jurnal, bab buku serta prosiding. Beliau turut dilantik sebagai ahli Advisory Board  bagi beberapa jurnal antarabangsa, dan dijemput sebagai Plenary Speaker dalam beberapa konferensi antarabangsa.

Kegigihan dan kejayaan beliau sebagai seorang saintis, telah diberi pengiktirafan oleh badan-badan profesional di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau telah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (FASc) pada tahun 2009. Beliau juga adalah merupakan Felo Pengasas bagi Malaysian College of Veterinary Specialists (FMCVS) dan Felo bagi Malaysian Scientific Association  (FMSA). Pada Oktober 2011, beliau telah dipilih sebagai Felo Islamic World of Academy of Sciences (FIAS).

Anugerah penyelidikan lain yang diterima oleh Profesor Aini ialah Anugerah Fellowship Naib Canselor - kategori Penyelidik Cemerlang (2007), Anugerah Penyelidik Biosains Cemerlang (2007) dan Anugerah Pengkomersilan (2008). Kumpulan penyelidikan beliau  turut menggondol Anugerah Inovasi Penyelidikan Sektor Awam dan Swasta (2008) di mana beliau sebagai penyelidik bersama.

Prof. Aini mempunyai pengalaman pentadbiran yang luas. Antaranya adalah sebagai Pemangku Ketua Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar (1989, 1990), Pengerusi Hospital Pengajaran Veterinar (1992-1998), di mana beliau terlibat dalam memperluaskan perkhidmatan rawatan penyakit haiwan dan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Perubatan Veterinar, selama 9 tahun (1992-2001). Beliau bertanggungjawab dalam penggubalan dan pemantapan kurikulum program Doktor Perubatan Veterinar, serta peneraju utama dalam pencapaian Sijil ISO yang pertama di UPM, bagi skop prasiswazah dan siswazah.

Beliau seterusnya diberi kepercayaan untuk  menerajui Pusat Pengajian Siswazah, yang kemudiannya ditukar nama kepada Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), sebagai seorang Dekan (Mei 2001-November 2008). Semasa memegang jawatan Dekan SPS selama lapan tahun, Prof. Aini telah membawa banyak perubahan dalam sistem pengurusan pengajian siswazah, menjadikannya lebih efisien dan transparen.

Beliau juga telah memperkenalkan beberapa modul latihan untuk penyelia dan pelajar siswazah, yang menjadi satu tanda aras bagi universiti universiti tempatan lain. Prof. Aini turut dilantik sebagai Pengerusi Majlis Dekan Pengajian Siswazah (MDPS) IPTA Malaysia dari 2005-2008. Sebagai Pengerusi MDPS, beliau telah menganjurkan penulisan buku panduan bagi penyelia ke arah penyeliaan pelajar siswazah dengan cemerlang, serta menganjur beberapa konferensi.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini terlibat secara aktif sebagai Ahli Majlis Akademi Sains Malaysia, Ahli Majlis Malaysian College of Veterinary Specialists (MCVS), Ahli Lembaga Governan, International Medical University (IMU), Ahli Lembaga Governan, International Medical College (IMC), Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Putra Business School, Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Kanser Malaysia (MCRI), Ahli Eksekutif Majlis Kanser Nasional (MAKNA), serta beberapa pertubuhan yang lain. Beliau adalah juga Pengerusi Pengasas, Ahli Lembaga Pengarah UPM Holdings Sdn Bhd dan Presiden Pengasas, World Veterinary Poultry Association – Cawangan Malaysia.


SXEUCAc~