Produk NALES Pudding Juarai Pertandingan Produk Baharu 2015, FSTM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Produk NALES Pudding juarai pertandingan Produk Baharu 2015, FSTM

Produk NALES Pudding juarai pertandingan Produk Baharu 2015, FSTM

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang

 



SERDANG, 17 Dis – Produk Nales Pudding muncul juara pertandingan Produk Baharu 2015 sempena Hari Pengenalan Produk Baharu 2015, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hari Pengenalan Produk Baharu itu bertujuan memperkenalkan produk makanan baharu dan mempromosikan program fakulti kepada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran.

Produk yang dihasilkan oleh sekumpulan pelajar tahun akhir FSTM yang menamakan syarikat mereka sebagai Localife Sdn. Bhd telah mengolah makanan kebanggaan Malaysia iaitu Nasi Lemak kepada sajian pencuci mulut iaitu NALES Pudding.



Ketua kumpulan, Chan Lin Chong berkata NALES Pudding merangkumi dua lapisan nasi lemak (santan daripada kelapa sawit) dan ekstrak pandan bersama kacang panggang, timun, telur dan kepingan sambal.

“NALES Pudding menjanjikan 100% kalsium asli daripada kulit telur yang dijamin selamat dan berkhasiat serta memenuhi keperluan tenaga dan citarasa.

“NALES Pudding boleh dipelbagaikan sebagai snek harian, cenderahati atau hadiah”, katanya.

Manakala tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Kurfee yang menghasilkan kopi Premix 2 in 1 dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Breakfast Go yang  menghasilkan serbuk minuman yang mampu memberi daya tenaga, berkhasiat, mudah dan lazat dalam bersarapan.

Masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM400, RM300 dan RM200 beserta hamper.

Kumpulan-kumpulan lain mendapat hadiah saguhati menghasilkan produk baharu makanan iaitu Riizo, Oatreats,Eastroot, Sambal Telur Ana dan Frostee.



Antara kategori lain yang dipertandingkan ialah Persembahan Multimedia Terbaik yang dimenangi oleh kumpulan Kurfee Premix 2 in 1, Pameran Terbaik, kumpulan Sambal Telur Ana dan Pembungkusan Terbaik, Nales Pudding.  

Dekan FSTM, Prof. Dr. Hasanah Mohd Ghazali berkata majlis itu dapat menyediakan platform yang terbaik untuk pelajar-pelajar mengaplikasikan ilmu dalam bidang sains dan teknologi makanan bermula dari pencetusan idea hingga berjaya menghasilkan prototaip untuk tatapan pengguna semua.

“Tahun ini sebanyak lapan produk makanan baharu berjaya dihasilkan oleh lapan kumpulan pelajar dengan kerjasama Putra Science Park yang berjaya mendaftar hakcipta bagi kesemua lapan produk makanan baharu ini.



“Usaha ini akan jadi lebih bermakna sekiranya produk-produk itu dapat dikomersilkan dan secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kepesatan industri makanan sebagai satu industri yang dinamik di Malaysia dan nadi kepada industri hiliran pertanian.

“Penghasilan produk baharu memainkan peranan yang penting dalam menjamin perkembangan dan kelestarian industri makanan yang pesat,” katanya.

Produk-produk ini dicipita secara berkumpulan, bermula dari penjanaan dan penyaringan idea, penghasilan dan pengujian prototaip di loji pepandu, makmal pemprosesan dan makmal uji deria sehingga pelancaran prototaip produk baharu kepada pelanggan.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Putra Science Park UPM, Prof. Dr. Faridah Qamaruzzaman.


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511157159