| Universiti Putra Malaysia

Pra Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Emas

SERDANG, 30 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Pra Pelancaran dan Perasmian Logo Sambutan Perayaan Jubli Emas sempena 50 Tahun Penubuhan Universiti Putra Malaysia (1971-2021) bagi memberi makluman awal berkenaan Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2021.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, berkata sambutan ini adalah bertepatan dalam menghargai aspirasi kecemerlangan serta kejayaan semua pihak dalam pembangunan UPM.

“UPM terus memperkukuhkan reputasi di peringkat antarabangsa apabila berjaya memperbaiki kedudukan ranking dunia secara konsisten serta pelbagai badan penarafan telah menilai dan memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada UPM. Rentetan kejayaan ini wajar diraikan oleh seluruh warga kampus, pelajar dan alumni,” katanya.

Sambutan Perayaan Jublis Emas yang bertemakan “Pertanian, Inovasi, Kehidupan” merupakan slogan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menggambarkan UPM sebagai legasi ilmu dan peneraju pertanian yang banyak memberikan sumbangan kepada penambahbaikan kehidupan, pengkayaan ilmu pengetahuan dan inovasi khususnya dalam bidang pertanian.

Selain itu, tema tersebut menggambarkan nilai yang dikongsi bersama dengan komuniti, kerajaan, rakan institusi, industri dan pemegang taruh yang lain.

Kombinasi ketiga-tiga perkataan tersebut berupaya menyerlahkan legasi kecemerlangan pertanian di UPM, memaparkan nilai kesarjanaan di UPM dan menonjolkan perbezaan UPM dengan Institusi Pendidikan Tinggi yang lain.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Mohd Sulaiman merasmikan Logo Sambutan Perayaan Jubli Emas sempena 50 Tahun Penubuhan Universiti Putra Malaysia yang disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti. 

Simbolik Penyerahan Logo Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM turut diserahkan kepada Pengerusi Jemaah Dekan, Pengetua dan Institut.

Logo Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM  telah direka oleh Mohd Hairul Azizi Amat Tokimin, Ketua Pegawai Eksekutif, Placestogo Asia Sdn. Bhd. yang merupakan Alumni UPM Kelas 2001 dan 2005.

Pada majlis itu Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman turut melancarkan “Pelancaran Van dan Coaster Serdang Angels” dan Smart Putra® Bus sempena Sambutan Jubli Emas UPM 50 Tahun UPM.

Katanya, Serdang Angels merupakan pasukan ragbi UPM yang telah bertapak selama lebih daripada 40 tahun dan telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan sama ada di peringkat universiti mahupun kebangsaan.

Tambah beliau, Smart Putra® Bus ialah aplikasi pintar yang mengoptimasikan jadual pergerakan bas kampus, mengesahkan penumpang, merekod jumlah penumpang serta melaporkan statistik secara langsung dan terus kepada Pusat Kawalan UPM yang bakal memudahkan pergerakan pelajar untuk merancang perjalanan urusan pengkuliahan masing-masing.

“Pendigitilan bas kampus itu akan dapat membantu pihak universiti untuk memantau setiap pergerakan dan kelajuan serta merekod setiap peta corak pergerakan bas bagi membuat keputusan predictive analytics bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan bas kampus di masa akan dating,” katanya.

Sementara itu, pada tahun 2021, genap 50 tahun penubuhan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai sebuah universiti bermula dari tahun 1971-2021. UPM bermula dengan status Sekolah Pertanian Malaya pada tahun 1931, kemudian, bertukar status kepada Kolej Pertanian Malaya pada tahun 1947.

Pertukaran status kolej kepada universiti iaitu Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1971 mencipta satu detik bersejarah pertukaran status kepada Universiti Pertanian Malaysia. Pada tahun 1997, sekali lagi pertukaran nama berlaku dan sehingga kini kekal sebagai Universiti Putra Malaysia. - UPM

 

WXEYEAT~