| Universiti Putra Malaysia

PKPP UPM anjur Webinar Antarabangsa The Loss Of Volunteerism

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

 

SERDANG, 28 Nov – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk kali keduanya menganjurkan Webinar Antarabangsa Siri 2: The Loss of Volunteerism baru-baru ini, dengan seramai 1,000 peserta mengikuti program itu melalui aplikasi Zoom dan 149 orang melalui Facebook Live.

Peserta adalah dari seluruh Malaysia dan 14 negara lain.

Program dianjurkan bersama kelab Putra Volunteer (PV), UPM yang ahlinya terdiri daripada para pelajar UPM.

Webinar antarbangsa yang pertama PKPP, UPM ialah Get Rich & Be Happy “Money & Health” By Abang Abu The Money Mechanic pada 2 November lalu melibatkan 487 peserta.

Webinar Siri 2 ini menampilkan Ahmad Azam Ab Rahman iaitu wakil khas, Malaysia Independent Permanent Human Rights Commission (IPHRC-OIC), Timbalan Ketua Setiausaha, The Union of NGOs of the Islamic World (UNIW) dan Pengerusi, Global Peace Mission (GPM).

Turut serta Pengarah Program, Muhammad Muzhaffar Syah Azmi yang merupakan ahli kelab Putra Volunteer, manakala moderator program adalah Pengarah PKPP, UPM, Prof. Madya Dr. Nur Izura Udzir.

Webinar itu bertujuan melatih pelajar UPM dalam penganjuran program bersifat kesukarelawanan dan kemasyarakatan, serta melatih ahli PV UPM mengendalikan webinar antarabangsa atas talian secara langsung sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa

Pelajar kelab PV UPM turut terlibat daripada penyediaan kertas kerja bagi mengadakan program itu, menghasilkan video PV UPM yang telah dipertontonkan kepada peserta, poster webinar dan promosi.

Sementara itu, Kelab Putra Volunteer UPM telah diserahkan kepada pengurusan PKPP UPM berkuatkuasa Julai 2020 daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan telah bergabung dengan Kelab Pembangunan Kesukarelawanan (PERSUKA) daripada PKPP UPM.

Ia bertujuan memperkukuhkan lagi aktiviti dan program kesukarelawanan di kalangan pelajar di bawah satu entiti di bawah pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNCHEPA). Gabungan kedua-dua kelab bersetuju menggunakan nama PV yang dijelmakan semula.

Program webinar itu adalah projek pertama PV UPM yang dikendalikan sejak berada di bawah pengurusan PKPP.

Pihak yang turut membantu penganjurannya ialah pejabat TNCHEPA, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat serta pejabat Naib Canselor UPM.

Dilihat kepada sambutan yang diterima, ternyata tajuk The Loss of Volunteerism iaitu mengenai kesukarelawanan atau volunteerism mendapat tempat di hati masyarakat, dan menarik minat masyarakat menyertai webinar itu.

Maklumbalas yang diterima daripada peserta menunjukkan mereka sangat berpuas hati dengan penganjuran program itu dan mahu program sebegitu diadakan lebih kerap.  - UPM

 

 

SXDdNA~