Pesta Makanan Tradisional Melayu Martabat Juadah Tradisi | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pesta Makanan Tradisional Melayu martabat juadah tradisi

Pesta Makanan Tradisional Melayu martabat juadah tradisi

Oleh: Hendra Rijal

Foto oleh: Marina Ismail

 

SERDANG, 25 Sept – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Pesta Makanan Tradisional Melayu 2018 dalam membantu memartabatkan lagi pelbagai juadah tradisi warisan Melayu.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata makanan tradisional tempatan dapat menggamit pelancong untuk berkunjung, sekali gus untuk mereka menghayati keindahan lanskap Malaysia dan mampu membantu memajukan industri pelancongan negara.

 

“Terdapat sesetengah pelancong yang melawat Malaysia semata-mata untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan tradisional yang kaya dengan pelbagai resepi dan rempah ratus,” katanya.

 

Justeru katanya, adalah penting untuk masyarakat terus melestarikan makanan tradisional dalam kalangan generasi hari ini agar resepi tradisional tidak hilang ditelan zaman.

 

Ketua Muzium Warisan Melayu UPM, Rahimah Hamdan berkata program itu adalah program tahunan Muzium Warisan Melayu. Sebelum ini fokus program adalah makanan tradisional mengikut negeri.

 

“Kini, sasaran program adalah mendedahkan mengenai kepelbagaian juadah secara menyeluruh dan mengangkat tinggi resipi turun temurun. Pada kali ini penyediaan juadah turut membabitkan kakitangan FBMK… daripada 25 gerai itu, separuh adalah daripada kakitangan fakulti,” katanya.

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Penjaja dan Peniaga Kecil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdullah Abdul Rahman.

 

Pelajar Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu, FBMK, Ikhmal Baikhaqi Mohamad Juraimi berkata program itu berjaya memperkenalkan masakan masyarakat Melayu yang merupakan identiti bangsa, dan orang Melayu perlu berasa bangga dengan keunikan makanan tradisional bangsa.

 

“Saya mempelajari dan dapat mengenali makanan tradisional di setiap negeri yang sebelum itu saya tidak tahu negeri asal makanan itu,” katanya.

 

Acara kemuncak Pesta Makanan Tradisional 2018 itu ialah demonstrasi masakan gulai udang masak rebung dengan gula melaka oleh pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, Prof. Madya Dr. Shahrim Karim. - UPM

Tarikh Input: 10/10/2018 | Kemaskini: 11/10/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1540247164